Disebalik perjalanan lancar dan cabaran persiapan Hari Malaysia 2021
Eleanor Michelle Patrick
September 14, 2021 19:19 MYT
September 14, 2021 19:19 MYT
KOTA KINABALU: Hari Malaysia 2021 yang disambut di Sabah tahun ini akan diraikan dalam skala kecil selain mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Walaupun berskala kecil, sambutan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu juga antara lain mahu membangkit semangat memperingati hari penubuhan Malaysia.
Bagi Pengurus Bahagian Persembahan dan Pembangunan Artistik Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Supian Buang, persiapan perjalanan persembahan untuk sambutan itu kali ini cukup mencabar kerana diadakan ketika pandemik.
Bagaimanapun, katanya segala persiapan berjalan lancar selain pihaknya melakukan 'Pelan B', jika berlaku perubahan mengikut keadaan semasa.
"Jadi persiapan yang kami lakukan sekarang ini ialah perubahan-perubahan dari segi segmen-segmen untuk persembahan ini.
"Untuk cabaran ini memang kita mempersiapkan juga rakaman persembahan dan pada masa yang sama, hanya 50 orang artis budaya sahaja yang perlu hadir untuk buat persembahan secara langsung," katanya ketika ditemui di SICC, petang tadi.
Selain itu, dari segi konsep persembahan, pihaknya tampil kreatif bukan hanya memperingati sejarah penubuhan Malaysia, tetapi juga mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19.
Malah, jelas Supian, lima konsep dan elemen akan ditonjolkan pada persembahan sempena Hari Malaysia yang diadakan selama 90 minit itu.
"Dari segi konsep pula, kita mengangkat konsep-konsep seperti jika kita lihat sekarang ini, keadaan pandemik yang melanda negara kita, kita memperingatkan semangat untuk berjuang.
"Bukan sekadar untuk memperingati Hari Malaysia, tapi melihat dari sudut semangat juang kita untuk mengangkat negara kita seperti dahulu yang makmur dan juga sihat tanpa ada penyakit yang kita lihat sekarang inilah," katanya lagi.
Sambutan Hari Malaysia 2021 dijangka akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Majlis sambutan itu akan bermula pada pukul 8 malam, pada Khamis ini.