Disangkakan tali berjuntai, rupa-rupanya ular
Salim Aziz
April 9, 2019 16:43 MYT
April 9, 2019 16:43 MYT
Disangkakan tali yang berjuntai di atas bangsal, rupa-rupanya itu adalah seekor ular tedung selar.
Itu detik cemas yang dilalui seorang pencari besi buruk yang bernasib baik apabila sempat mengelak dari dipatuk reptilia tersebut ketika sedang mencari rezeki di sebuah bangsal barangan lusuh di Kampung Bukit Naka, Padang Terap, malam tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan Pertahanan Awam Mohd Shukri Shuib, lelaki tersebut pada mulanya beranggapan bahawa objek yang berjuntai itu adalah tali.
Namun, dia kemudiannya menyedari bahawa ia adalah seekor ular tedung selar seberat 6 kilogram selepas reptilia tersebut mula menyerangnya.
Tambah shukri pihaknya menerima panggilan jam 9:20 malam daripada lelaki terbabit dan terus ke lokasi bagi menangkap reptilia tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati ular tedung terbabit ditemui antara alang bangsal dan penutup enjin kereta di bangsal tersebut.
Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga telah mengambil masa lebih 30 minit untuk menangkap ular tersebut selepas ianya bertindak agresif dan sukar ditangkap.
Ular tedung selar sepanjang 4 meter itu akhirnya ditangkap menggunakan kemahiran dan peralatan khas yang digunakan pihak APM.
Ular terbabit kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#disangka tali rupanya ular
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
#Kampung Bukit Naka
#Padang Terap
#Perhilitan
#Pertahanan Awam Daerah Padang Terap
#ular tedung selar