Disangka rusa, anak saudara cedera terkena tembakan

Sinar Harian
Oktober 15, 2023 14:49 MYT
Mangsa berusia 20 tahun cedera pada bahagian badan dan tangan sebelah kiri. Gambar kecil: Yampil. - Gambar/ Sinar Harian
KENINGAU: Seorang lelaki cedera ditembak selepas disangka rusa ketika memburu bersama bapa saudaranya di kawasan hutan belakang Hospital Nabawan, dekat sini pada tengah malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa berusia 20 tahun cedera pada bahagian badan dan tangan sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam oleh kakitangan Hospital Nabawan yang menyatakan terdapat seorang pesakit dipercayai terkena tembakan.
"Siasatan awal mendapati pada jam 11.50 malam Sabtu, mangsa dan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun keluar memburu di kawasan hutan belakang hospital berkenaan.
"Sepanjang aktiviti memburu, mangsa hanya menggunakan lampu daripada telefon bimbitnya untuk pencahayaan perjalanan manakala suspek menggunakan lampu suluh bersama senjata api buatan sendiri jenis bakakuk serta peluru," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, ketika kejadian suspek mengarahkan mangsa yang juga anak saudaranya untuk kekal di kawasan semak kerana ketika itu sedang mengekori pergerakan seekor rusa.
"Bagaimanapun, mangsa yang tidak tahan berada dalam kawasan semak kerana terlalu banyak nyamuk terus mengejar suspek dari arah belakang.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa melihat cahaya dari lampu suluh suspek tetapi bertindak mendiamkan diri kerana bimbang menganggu namun secara tiba-tiba mangsa merasakan dirinya tertembak pada bahagian lengan dan juga badan sebelah kiri.
"Mangsa menjerit kesakitan dan meminta pertolongan sebelum suspek bertindak memapahnya dan menghantar ke hospital," katanya.
Yampil berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan selanjutnya.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan kesan lubang ditemui diseluruh bahagian badan mangsa dan kesan retak pada tulang lengan kiri, tulang jari kiri dan satu lagi anak peluru masih melekat di lengan sebelah kiri.
"Bagaimanapun, tiada organ dalaman penting mangsa yang terkena peluru," jelasnya,
Sehubungan itu, Yampil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan dan menyebabkan kecederaan.
"Suspek ditangkap di Nabawan dan akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk mendapatkan perintah reman," katanya. - Sinar Harian
#Kes Tembak #tembak anak saudara #salah tembak #hospital nabawan
;