Disangka rumah terbakar, rupanya lelaki 23 tahun disyaki lakukan pemujaan

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 26, 2021 18:00 MYT
GEORGE TOWN: Cahaya api yang disangka akibat kebakaran berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti pemujaan di sebuah unit kediaman di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor di sini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 1.55 pagi Selasa lepas.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan berhubung kehadiran cahaya seperti kebakaran di tingkat 31 bangunan tersebut.
Menurut kenyatan itu, pihak bomba menerima laporan daripada penduduk di situ yang memaklumkan ternampak cahaya seperti api yang menyangka berlaku kebakaran lalu segera menghubungi bomba.
Sebaik tiba di unit kediaman berkenaan pihak bomba mendapati tiada sebarang kebakaran yang berlaku
Bagaimanapun, pemeriksaan bersama polis di situ mendapati bau asap dari rumah tersebut dan bomba membuka pintu dengan peralatan khas menyelamat.
"Sebaik pintu dibuka, terdapat seorang lelaki berumur 23 tahun disyaki sedang melakukan aktiviti pemujaan dan tiada sebarang kebakaran," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Semasa operasi itu, pihak berkuasa turut menemui pelbagai peralatan bagi aktiviti pemujaan seperti patung dan lilin serta beberapa gambar pasangan dipercayai bagi ritual berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sementara itu, video dan gambar dipercayai dirakam dari unit berdekatan yang memaparkan tindakan seorang
lelaki seolah-olah sedang melakukan pemujaan dalam cahaya api tular di media sosial hari ini.
#aktiviti pemujaan #rumah terbakar #Persiaran Bukit Gambir #Gelugor #pulau pinang #lelaki 23 tahun
;