Disangka plastik rupanya anggur betul
Sinar Harian
April 14, 2022 09:50 MYT
April 14, 2022 09:50 MYT
JERANTUT: Rumah seorang penanam anggur di Taman Seri Embun di sini tetap menjadi tumpuan sepanjang Ramadan kali ini.
Syed Norhaimi Syed Zin,57 memberitahu situasi tersebut berikutan beberapa pokok anggur manis jenis 'jubilee' dan 'ninel' kini sedang lebat mengeluarkan hasilnya baru-baru ini.
Menurutnya, ada mereka yang sanggup datang dari luar Jerantut seperti Johor selepas mengetahui kisahnya yang pernah dilaporkan Sinar Harian sebelum ini.
"Selain itu yang mana tidak tahu lagi usaha saya tanam anggur, mereka singgah dan menyangkakan ia plastik sebelum terkejut ia rupanya anggur yang sebenar.
"Mereka juga teruja bergambar di kebun anggur milik saya. Saya jangkakan buah ini akan matang dan masak sepenuhnya pada Aidilfitri nanti," katanya pada Rabu.
Tambahnya, penanaman anggur di laman rumahnya menyebabkan landskap unik hingga menjadi tarikan orang ramai.
Dalam pada itu, bekas kakitangan Risda itu juga memberitahu, buah anggur atau nama saintifiknya, Vitis juga menjadi pendapatan sampingannya susulan masyarakat mula tidak melepaskan peluang membeli anak pokok buah tersebut.
Syed Norhaimi mula mengusahakan tanaman anggur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020 lalu.
"Saya dapatkan anak pokok yang berasal dari Eropah dan kemudiannya ditanam di sekeliling rumah dan menjual anak pokok RM100 hingga RM200 bergantung jenis varieti.
"Iklim Khatulistiwa menyebabkan anggur boleh mengeluarkan hasil lebih kerap berbanding iklim di Eropah hanya sekali untuk sepanjang tahun.
"Penanaman anggur tidak memerlukan kawasan luas selain boleh menentukan masa untuk keluarkan hasil," katanya.
Tambahnya, buat masa ini beliau telah melakukan proses cantuman dan sedang menunggu masa beberapa bulan lagi untuk mengeluarkan hasil.
"Tanaman anggur memerlukan tempoh hingga lapan bulan untuk matang," ujarnya.
Sebelum ini, Syed Norhaimi menanam anggur jenis masam, 'wine grape' sejak 20 tahun lalu serta strawberi sebelum beralih arah memilih varieti 'table grape'.
"Mungkin sambutan Aidilfitri nanti sedikit unik buat keluarga dan tetamu nanti kerana bakal merasai sendiri keenakan anggur yang ditanam saya," jelasnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.