Disangka kucing besar, rupanya harimau akar

Norfarhiza Mohd Atar
November 25, 2022 21:17 MYT
Tahir Al Tipah menunjukkan tempat dia berbaring sebelum dikejutkan dengan kehadiran harimau akar yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya. - Gambar/ Astro AWANI
LIPIS: "Ketika kejadian adik ipar sedang berbaring depan TV sebelum dikejutkan dengan kehadiran harimau akar yang tiba-tiba masuk ke dalam rumah,".
Demikian kata Siti Hapesah Ishak, 73, ketika menceritakan kejadian harimau akar yang menceroboh masuk ke kediaman adiknya, Faridah Ishak, 58, di Kampung Sentang, Pagar Sasak di sini petang semalam.
Siti Hapesah yang tinggal berjiran dengan adiknya berkata, suami Faridah, Tahir Al Tipah, 58, yang tidak dapat bercakap akibat menghidap kanser peti suara bertindak menghalau harimau akar terbabit sebelum haiwan itu melompat ke atas katil yang menempatkan Faridah yang terlantar akibat strok.
"Masa melompat atas katil, kuku harimau terbabit terkena pada kening adik yang terbaring kerana mengalami strok.
"Haiwan liar tersebut kemudiannya bertindak melompat keluar ikut tingkap yang terbuka sebelum ia menyorok di bawah rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
BACA: Penghuni cemas, ada harimau akar 'berehat' bawah rumah
Siti Hapesah berkata, Tahir yang terkejut dengan kejadian yang berlaku bertindak berlari memanggilnya di rumah sambil memaklumkan dengan menggunakan bahasa isyarat terdapat seekor harimau masuk ke dalam rumah.
Jelas Siti Hapesah, dia bertindak segera memanggil jiran dan sepupu yang tinggal berhampiran untuk melihat haiwan tersebut yang menyorok di bawah rumah.
"Mulanya saya sangka kucing besar atau haiwan lain, tetapi apabila jiran dan saudara datang menyuluh di bawah rumah, kami semua terkejut melihat harimau akar yang bersaiz agak besar ada di situ.
"Sebelum harimau akar itu menceroboh masuk ke dalam rumah, haiwan liar terbabit dipercayai ingin memburu makanan dan sempat membunuh seekor kucing di halaman rumah.
"Mungkin masa hendak makan kucing tersebut, harimau akar itu terkejut dengan bunyi motor yang lalu lalang di jalan raya berhampiran lalu berlari masuk ke dalam rumah," jelasnya.
Siti Hapesah berkata, dia bersyukur kerana Faridah hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dirawat oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Padang Tengku.
Jelasnya, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku di kampung terbabit dan menggemparkan penduduk setempat.
"Sebelum ini penduduk kampung tidak pernah melihat kelibat harimau akar berkeliaran tambahan pula rumah ini hampir dengan jalan besar.
"Mungkin habitatnya terancam dan tiada makanan menyebabkan haiwan liar itu keluar dari hutan dan mencari makanan di sekitar kampung," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, seekor harimau akar yang memasuki rumah dan mencederakan seorang wanita pengidap strok di Kampung Sentang, Pagar Sasak di sini berjaya ditangkap tengah malam tadi.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, haiwan itu ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kira-kira jam 12.45 tengah malam setelah ditembak menggunakan ubat pelali.
#harimau akar #harimau masuk rumah #kampung sentang #lipis
;