Disangka haiwan berbisa, rupanya hanya seekor lalat hijau
Astro Awani
Disember 15, 2019 13:54 MYT
Disember 15, 2019 13:54 MYT
Dapat panggilan haiwan berbisa, tetapi sebaik tiba hanya seekor lalat.
Pelik tapi benar tapi itulah realiti yang berlaku apabila sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menerima panggilan kes haiwan berbisa .
Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, pasukan keselamatan itu hanya menemui seekor lalat hijau.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidon berkata, kes seperti ini belum pernah diterima JBPM Kedah sebelum ini.
Menurut beliau, asalnya anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menerima panggilan kehadiran haiwan berbisa di belakang Sekolah Tamil Anak Bukit, di sini sekitar pukul 6.03 petang Sabtu.
Sayani berkata, anggotanya tuut dimaklumkan oleh pemanggil dia terdengar bunyi sesuatu pelik dan mencurigakan dalam almari berkemungkinan binatang berbisa.
Namun, sebaik pemeriksaan dilakukan, anggota keselamatan mendapati seekor lalat hijau terperangkap dalam almari berkenaan dan bukanya ular seperti yang dilaporkan.
Kata Sayani, walaupun menerima kes pelik seperti itu, namun anggotanya tetap pergi ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.
"Saya ingin menarik perhatian pemanggil sebelum memanggil Jabatan Bomba untuk kes-kes yang melibatkan kecemasan (melibatkan binatang berbisa) jika kita tak nampak wujudnya objek, ancaman ataupun risiko daripada binatang yang dikatakan berbisa itu, saya nasihatkan cuba jangan panik kita kena siasat dulu apa yg sebenarnya yang mengeluarkan bunyi," kata Sayani.
Menurut Sayani, ada setengah BBP di beberapa daerah cuma ada satu keluaran dan ada yang mempunyai dua atau tiga keluaran.
Katanya, bagi BBP yang mempunyai satu keluaran, kes pelik seperti lalat ini akan melambatkan kehadiran anggota untuk menghadirkan diri kes kecemasan lain.