Disangka bau bangkai tikus, rupanya mayat
Sinar Harian
Februari 21, 2024 14:17 MYT
Februari 21, 2024 14:17 MYT
KUALA NERUS: Misteri bau busuk yang menyelubungi penduduk di Taman Permint Perdana, Seberang Takir dekat sini akhirnya terjawab selepas penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di sebuah rumah di kawasan tersebut pada Selasa.
Jiran mangsa, Nursyuhada Hasyim, 40, memaklumkan, dia terkejut apabila mengetahui bau busuk yang disangkakan bau bangkai tikus sejak beberapa hari lalu itu ternyata merupakan bau mayat seorang lelaki sudah meninggal dunia.
"Saya syak dalam rumah ada bangkai tikus namun ketika cari bau itu, tak ada jumpa apa-apa bangkai sekali pun.
"Jadi saya ada tanya jiran-jiran sama ada terbau bangkai tersebut.
"Mereka menyatakan ada terhidu bau yang sama namun tidak menjangka bau tersebut datang dari rumah mangsa yang berada di belakang rumah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Mengulas lanjut, Nursyuhada berkata, salah seorang jiran telah membuat laporan polis berhubung penemuan mayat di dalam rumah berkenaan.
Menurutnya, mayat lelaki itu ditemukan di ruang tamu dalam keadaan terbaring di sebuah rumah pada jam 7 malam Selasa.
Dalam pada itu, Nursyuhada berkata, mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut sejak dua tahun lalu selain menghidap sakit gout.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, lelaki berusia 51 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring di kediamannya pada jam 7.10 malam.
Wan Mohd Zaki juga mengesahkan penemuan mayat lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian