Disambut senyuman, pihak pengurusan kuil tenang teruskan aktiviti seperti biasa
Hilal Azmi
November 28, 2018 08:32 MYT
November 28, 2018 08:32 MYT
Ketika mendapat arahan untuk bertugas membuat liputan di Kuil Sri Maha Mariamman, debaran kuat dirasakan.
Bukan apa, limpahan maklumat di WhatsApp dan Facebook nyata mengundang pelbagai persepsi dan buah fikiran.
Begitupun, setibanya di lokasi, kelihatan sekurang-kurangnya 12 jentera Pasukan Polis Simpanan (FRU) dengan lebih 100 anggota sedang berkawal, namun dalam keadaan yang tenang.
Difahamkan, keberadaan mereka sejak semalam telah berjaya mengawal keadaan yang dilihat seperti tiada apa-apa berlaku.
Suasana di lokasi nyata berbeza sama sekali dengan cerita-cerita yang dikongsikan di media sosial.
Memasuki perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman, sapaan kami disambut dengan senyuman oleh pihak pengurusan kuil yang baru selesai menjalankan ritual pagi.
Jeyakumar Subramaniam, Penasihat Kuil memberitahu, suasana telah kembali normal.
“Situasi kembali normal sejak semalam. Hanya pihak polis dan FRU saja berkawal di sini.
“Semuanya OK setakat ni cuma kadang-kadang orang salah faham yang mungkin mewujudkan masalah lain.
“Bagi saya semuanya normal saja,” katanya lagi.
Semalam, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan medianya telah mengingatkan orang ramai untuk hentikan penyebaran maklumat yang belum disahkan benar.
Ingatan SKMM itu tepat pada masanya sesuai dengan situasi yang semakin memuncak dengan maklumat tidak benar disebarkan tanpa disahkan.