Dirempuh pacuan empat roda, dua beranak maut
Noraniza Kamsani
Februari 25, 2019 17:52 MYT
Februari 25, 2019 17:52 MYT
Dua beranak maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipercayai dipandu dengan laju di Kilometer (km) 32 Jalan Raub-Mempaga di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, menyebabkan Siti Farhana Othman, 25, dan ibunya Ramlah Saad, 60, kedua-duanya dari Felda Lembah Klau di sini maut serta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemandu Isuzu D-Max, Lai Wan Man, 35, dari Kampung Chamang Baru, Bentong hanya mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang Perodua Myvi itu, Wan Mohamed Salleh Wan Chik @ Wan Su, 73, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Sungai Ruan ke Mempaga di Bentong manakala mangsa dari Bentong ke Felda Lembah Klau di sini.
"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dipandu dengan laju terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.
"Akibat pertembungan itu, pemandu dan penumpang belakang Perodua Myvi itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian ini disiasat mengikuti Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih dilakukan.
#dua beranak maut
#Felda Lembah Klau
#Isuzu D-Max
#Jalan Raub
#Kampung Chamang Baru
#kemalangan maut
#Lai Wan Man
#Mempaga
#Perodua Myvi
#Ramlah Saad
#Siti Farhana Othman