Dirempuh motosikal, anggota JPJ tidak patah semangat

Sinar Harian
September 18, 2023 13:46 MYT
Hanif Yusabra (dua dari kanan) ketika menyantuni Muhammad Nur Hakim (kanan) di Kuaters JPJ Pedas, Rembau pada Isnin. - Foto sinar Harian
REMBAU: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang cedera akibat dirempuh motosikal ketika sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad, tetap bersemangat dan tidak serik menjalankan tugasnya.
Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku sejak dia menganggotai pasukan JPJ tujuh tahun lepas.
"Ketika kejadian, SJR dilakukan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di laluan dua lorong. Satu lorong khas untuk pemeriksaan motosikal manakala lorong kanan untuk pemeriksaan kereta.
"Saya berada di lorong kanan dan sedang memeriksa kereta. Kami sudah nampak lelaki itu memperlahankan motosikalnya dan lalu di lorong motosikal, namun secara tiba-tiba dia memecut dan menukar arah ke lorong kereta sebelum merempuh saya," katanya semasa lawatan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf di kediamannya di Kuaters JPJ Pedas di sini pada Isnin.
Anggota JPJ cedera dilanggar pengawal keselamatan rempuh sekatan jalan raya
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila tidak mengalami kecederaan parah meskipun dilihat melambung selepas dirempuh penunggang motosikal berusia 25 tahun itu.
"Dalam video kejadian, dapat dilihat saya memegang kaki dan cuba bangun, tetapi rasa sakit. Pada masa itu memang fikiran saya kosong dan tidak tahu apa yang berlaku.
"Selepas membuat X-ray, doktor memaklumkan tiada tulang yang patah atau kecederaan parah lain, namun bahagian belakang kepala terdapat tisu yang koyak dipercayai kerana terhentak pada jalan.
"Kaki kiri juga ada calar, bengkak dan rasa sakit kerana dipercayai terkena tayar motosikal," katanya.
Menurutnya, dia bukan sengaja mahu menahan penunggang motosikal itu atau sanggup mempertaruhkan nyawa sebaliknya tidak sempat untuk mengelak kerana penunggang tersebut secara tiba-tiba menukar haluan dan memecut.
Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, kejadian itu melibatkan nyawa anggota dan pegawai JPJ, malahan nyawa orang ramai, jadi orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, peka dan patuhi peraturan agar tidak memberikan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, dalam masa sama, apa yang berlaku tidak akan melumpuhkan semangatnya untuk meneruskan dan melaksanakan apa sahaja operasi yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya mengikut sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh jabatan.
"...Dan setiap kali kami melaksanakan SJR tentunya kami mempunyai perancangan yang baik dengan menyemak dari segi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan kawasan SJR dan kekuatan anggota barulah kita lakukan SJR itu.
"Dalam kejadian ini, penunggang itu sendiri yang menunggang dalam keadaan bahaya," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#anggota JPJ #dirempuh motosikal #Port Dickson #Sekatan Jalan Raya #Muhammad Nur Hakim Mohd Razip
;