Dirempuh lembu: Peniaga kuih meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa

Bernama
Februari 25, 2024 09:29 MYT
Seorang peniaga kuih yang parah selepas motosikal dinaikinya dirempuh seekor anak lembu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai Rabu lepas meninggal dunia awal pagi tadi. -Gambar hiasan/Bernama
GUA MUSANG: Seorang peniaga kuih yang mengalami kecederaan parah pada kepala selepas motosikal dinaikinya dirempuh seekor anak lembu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Rabu lepas, meninggal dunia awal pagi ini.
Fazleeen Mohd Yusoff, 31, menghembuskan nafas terakhir pada 1.10 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata ketika kejadian mangsa dan suami, Nik Amdan Mohd Ali, 28, bersama anak mereka Nik Nur Irdina Sofia, 7, dan Nik Nur Irdina Arisha, 4, dalam perjalanan menghantar tempahan kuih kepada pelanggan di RKT Paloh 3.
"Setibanya di tempat kejadian seekor anak lembu secara tiba-tiba telah melintas jalan dan melanggar hadapan motosikal jenis Honda RS 150 R yang dinaiki keluarga terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata susulan itu mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke HUSM.
Beliau berkata jenazah telah dituntut oleh ahli keluarga dan selamat dikebumikan pagi ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
-- BERNAMA
#peniaga kuih #Dirempuh lembu #Jalan Gua Musang-Kuala Krai #RKT Kesedar Paloh 3 #Fazleeen Mohd Yusoff