Dipukul, dipenjara atau ditembak jika berkeras

Sinar Harian
Februari 21, 2024 09:00 MYT
Kanak-kanak menyerbu trak yang membawa makanan kepada mereka berikutan bantuan yang berjaya dibawa masuk sangat terhad. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Polis dan askar Israel mengawal ketat Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis serta mengehadkan warga tempatan untuk memasuki rumah ibadat tersebut.
Rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Khan Younis, Palestin, Nurul Ain Haron, 38, berkata, hanya penduduk yang sudah berumur sahaja dibenarkan masuk ke dalam masjid berkenaan untuk beribadah.
“Kawalan semakin ketat di masjid itu. Sebelum nak masuk memang ada polis dan askar yang berkawal.
“Penduduk yang berkeras atau cari gaduh dengan mereka (polis dan askar Israel) akan dipukul, dimasukkan dalam penjara atau ditembak. Mereka kurangkan orang bersolat di Masjid al-Aqsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Nurul Ain berkata, sejak serangan pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 4,000 warga tempatan ditahan kerana didakwa melakukan cubaan melawan polis atau tentera Israel.
Nurul Ain yang kini menetap bersama suami di Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga memaklumkan bahawa penduduk tempatan memerlukan bantuan makanan, pakaian dan ubat-ubatan.
Ujarnya, situasi di Khan Younis lebih baik selepas tentera Israel mula mengundur kira-kira 500 meter daripada kawasan perumahan saudaranya di daerah tersebut.
“Tak boleh nak kata selamat tetapi situasi di sana agak tenang.
“Penduduk memerlukan bantuan terutama makanan kerana harganya sangat mahal. Misalnya, bawang sekilo cecah RM40 duit Malaysia.
“Kalau kita beri mereka RM100 pun, tiada apa yang boleh bantu mereka,” ujarnya.
Sementara itu, suaminya, Mohamed A M Shaat, 34, berkata, tiada perkataan yang boleh digambarkan keadaan di Palestin pada masa kini.
Ujarnya, situasi di Khan Younis sangat luar biasa sehingga penduduk tempatan terpaksa makan makanan haiwan untuk meneruskan kehidupan.
“Apabila ada trak bantuan sampai, mereka sanggup membahayakan diri pergi ambil makanan tanpa menghiraukan bahaya.
“Manakan tidak, berpuluh hari mereka tak dapat makan makanan diperbuat daripada tepung, akhirnya mereka jumpa tepung,” ujarnya. - Sinar Harian
#Masjid Al-Aqsa #Israel #Palestin #rumah ibadat
;