Dipercayai terbunuh, tapi tak jumpa mayat

Ashwad Ismail
Jun 23, 2017 15:50 MYT
PDRM sedang meneliti laporan mengenai kematian ketua militan warga Malaysia yang paling dikehendaki, Dr Mahmud Ahmad di Marawi, selatan Filipina.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti laporan mengenai kematian ketua militan warga Malaysia yang paling dikehendaki, Dr Mahmud Ahmad di Marawi, selatan Filipina.
Menurut sumber perisikan, PDRM tidak dapat mengesahkan laporan tersebut memandangkan tiada bukti dikemukakan oleh pihak tentera Filipina.
"Tiada sebarang maklumat mengenai mayat Dr Mahmud setakat ini, sekiranya dia terbunuh, mana mayatnya?" kata sumber kepada Astro AWANI.
Tentera Filipina mendakwa Mahmud mengalami kecederaan parah di dalam pertempuran dengan tentera di Marawi dan meninggal dunia pada 7 Jun lalu.
Dr Mahmud dipercayai antara individu penting yang mengetuai kumpulan militan Maute yang menawan bandar di selatan Filipina itu.
Bekas pensyarah itu sebelum ini terlibat dalam merekrut dan menghantar rakyat Malaysia menyertai kumpulan Daish di Syria dan Iraq.
Sumber perisikan sebelum ini mendedahkan, Mahmud yang lebih dikenali sebagai Abu Handzalah terlibat dalam merangka strategi melebarkan pengaruh serta membina tapak militan Daish Asia Tenggara.
Antara lain, ia melibatkan penyatuan kumpulan-kumpulan pengganas di Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Langkah-langkah strategik yang dirangka termasuk membina hubungan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf serta kumpulan-kumpulan pemberontak kecil yang menyokong Daish untuk membentuk sayap kumpulan militan di rantau ini.
#Dr Mahmud Ahmad #Malaysia #Marawi #militan
;