Dipanggil bela diri ... tidak bermaksud bersalah
Muzaffar Syah Mallow
November 11, 2019 13:25 MYT
November 11, 2019 13:25 MYT
SESEORANG itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan.
Adalah amat tidak wajar untuk melemparkan atau mengelar seseorang dengan pelbagai jenis gelaran jenayah selagi seseorang itu belum dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan.
Dalam sistem prosedur dan undang – undang jenayah yang telah lama diamalkan selama ini, setiap orang yang didakwa atas kesalahan jenayah adalah dianggap tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan betul – betul bersalah (Dalam Bahasa Inggerisnya: innocent until proven guilty). Sistem prosedur jenayah ini bukan sahaja terpakai di Malaysia malah turut terpakai diserata dunia.
Ianya diwujudkan bagi memberi ruang dan peluang yang seluas – luasnya kepada semua pihak yang terlibat dengan sesuatu kes jenayah untuk membuktikan atau menafikan kesalahan yang telah dituduh.
Memang sudah menjadi tugas hakiki setiap pendakwaraya didalam kes – kes jenayah untuk membuktikan segala jenis dakwaan yang dibawa oleh mereka terhadap diri tertuduh mengikut lunas dan peruntukkan undang – undang yang ada dalam negara.
Pada masa yang sama juga sudah menjadi hak hakiki seseorang yang telah dituduh untuk membela diri mereka serta menafikan segala pertuduhan yang telah dilemparkan
terhadapnya mengikut lunas dan peruntukkan undang-undang yang ada dalam negara kita. Setelah semua pihak yang terlibat mengemukakan hujahan serta bukti masing – masing, pihak mahkamah akan memberikan keputusan mereka dengan sewajarnya. Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah diberikan, rayuan boleh dikemukakan ke peringkat mahkamah yang seterusnya.
Bagi membukti kes yang melibatkan jenayah, standard atau tahap pembuktian yang dikenakan adalah lebih tinggi berbanding dengan kes sivil iaitu pembuktian diluar keraguan munasabah (Dalam Bahasa Inggerisnya: Beyond reasonable of doubt) kerana implikasi kesalahan jenayah terhadap diri individu yang terlibat adalah lebih serius berbanding dengan kesalahan sivil. Sekiranya pihak pendakwaan gagal membukti kes dakwaan mereka mengikut standard atau tahap pembuktian terbabit maka pihak yang dituduh boleh dibebaskan terus oleh pihak mahkamah.
Bagi kes jenayah, perbicaraan akan melalui dua proses. Proses yang pertama dipanggil prima facie dimana pihak pendakwaan perlu membuktikan kes ke atas tertuduh. Pendakwa perlu panggil semua saksi pendakwaan yang berkaitan. Pada proses ini, tertuduh tidak akan memberi sebarang kenyataan. Tertuduh cuma duduk diam – diam dalam kandang tertuduh.
Yang memberi kenyataan semuanya saksi pendakwa. Di penghujung prima facie, pihak mahkamah akan membuat penilaian sama ada pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie atau tidak. Sekiranya kes prima facie berjaya dibuktikan, kes terbabit akan ke proses yang berikutnya iaitu proses pembelaan. Kes belum lagi berakhir, pihak lagi satu mempunyai hak untuk membela dirinya.
Pada peringkat ini, pihak mahkamah telah menerima fakta pertuduhan. Tapi bukan secara keseluruhannya. Proses kedua ini, pihak mahkamah akan mendengar kenyataan dari tertuduh dan saksi – saksi pembelaan pula. Didalam proses ini, tertuduh boleh memilih untuk berdiam diri, beri keterangan di kandang tertuduh atau memberi kenyataan dari kandang saksi dalam keadaan bersumpah.
Sebelum sesuatu kes jenayah itu dibicarakan dengan sepenuhnya dan sebelum sesuatu keputusan muktamad diberikan oleh pihak mahkamah, adalah penting untuk semua pihak tidak memberi atau mengeluarkan keputusan mereka sendiri terhadap sebarang kes yang dibawa ke mahkamah dan memberi sebarang label terhadap pihak yang dituduh.
Adalah penting untuk setiap pihak dalam negara kita menghormati prinsip yang telah diterima pakai dalam semua negara termasuk di Malaysia iaitu prinsip “Seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah”.
Prinsip ini adalah penting bagi melindungi diri pihak yang dituduh daripada dipandang serong oleh masyarakat sehingga boleh menjejaskan kehidupan diri tertuduh itu sendiri dan keluarganya.
Prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah juga dianggap sebagai hak asasi yang patut dimiliki oleh setiap manusia seperti yang jelas termaktub dibawah Artikel 11 Pengistiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948).
Artikel 11 Pengistiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) memperuntukkan hak dianggap tidak bersalah sehingga dibukti salah. Setiap manusia tidak boleh dianggap bersalah selagi belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Prinsip berkenaan juga telah diguna pakai di England melalui kes Woolmington v DPP [1935] AC 462 yang menjadi rujukkan kebanyakan kes di negara – negara Komanwel termasuk lah di Malaysia. Di
Malaysia, walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut prinsip ini secara jelas dan nyata tetapi pihak mahkamah telah memutuskan bahawa prinsip ini terpakai di Malaysia dan ianya adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat dilihat melalui kes yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v Gan Boon Aun [2017] 4 CLJ 41.
Kes-kes yang telah dinyatakan diatas jelas menunjukkan kepada kita bahawa prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu diguna pakai dan dihormati oleh semua pihak dalam negara kita.
Prinsip terbabit juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibawah Artikel 5 (1) yang memperuntukkan hak kebebasan diri setiap warganegara Malaysia. Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan dengan jelas bahawa “Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang – undang”.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya hak kebebasan diri setiap daripada warganegara ini dihormati serta dilindungi pada setiap masa.
Setiap orang perlu membiarkan pihak mahkamah serta pihak-pihak yang terlibat di dalam sesebuah kes untuk berbicara dengan aman dan lancar tanpa sebarang gangguan
#1MDB
#CBT
#jenayah
#Kolumnis AWANI
#mahkamah
#Najib Razak
#penggubahan wang haram
#SRC International
#undang-undang