Dipaksa melacur, tidak dibayar gaji
Sinar Harian
Ogos 15, 2022 08:10 MYT
Ogos 15, 2022 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Dipaksa melacur dan tidak dibayar gaji, itu nasib dialami seorang wanita warga asing yang berjaya diselamatkan menerusi serbuan di sebuah premis di Taman Fadason, Jinjang pada Sabtu.
Wanita berumur 39 tahun itu ditemui bersama 17 wanita warga asing yang lain menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis daripada Balai Polis Jinjang.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 11 pagi berdasarkan risikan dan maklumat awam yang diterima.
"Seramai 19 individu telah ditangkap, 18 daripadanya terdiri daripada wanita warga asing berusia antara 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran.
"Selain itu, turut ditahan ketika serbuan adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai penjaga kepada kesemua wanita warga asing yang ditahan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan awal mendapati salah seorang daripada wanita yang ditahan telah dipaksa melacur dan tidak dibayar gaji.
"Mangsa telah masuk ke Malaysia pada dua minggu yang lepas melalui Stulang Johor untuk bekerja sebagai khidmat pelayan pelanggan (GRO) namun dipaksa menjadi pelacur dan dibawa ke sebuah hotel di Kuala Lumpur.
"Manakala selebihnya mengaku bekerja sebagai GRO tanpa paksaan dan menerima gaji hasil dari perkhidmatan yang telah mereka tawarkan," katanya.
Menurutnya, kesemua mereka didapati telah bekerja selama lebih kurang dua tahun di Malaysia dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Seramai 17 wanita yang ditahan direman 14 hari manakala lelaki tempatan yang ditahan direman enam hari bagi siasatan lanjut.
"Mahkamah telah meluluskan permohonan polis untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama (21) hari bagi tujuan melindungi dan menempatkan mangsa yang telah dipaksa menjalankan aktiviti pelacuran tersebut di Rumah Perlindungan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen. -Sinar Harian