'Dine-in' dibenarkan di Sarawak bermula 14 Julai

Shafik Ahmad
Julai 12, 2021 18:26 MYT
JPBN Sarawak membuat beberapa garis panduan baharu termasuk membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
KUCHING: ‘Dine-In’ di restoran antara aktiviti yang dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua di Sarawak berkuat kuasa 14 Julai ini.
Bagaimanapun had bilangan pelanggan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Sarawak akan beralih kepada fasa kedua PPN selepas mengambil kira nilai ambang yang ditetapkan sebelum ini.
BACA: Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN Rabu ini
Beberapa garis panduan baharu telah dibuat termasuk membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
Kapasiti tempat kerja hanya dibenarkan 50 peratus melibatkan bahagian pengurusan dan operasi.
Bagaimanapun aktiviti hiburan, pelancongan, sosial, sukan dan rekreasi masih tidak dibenarkan.
Sementara itu, garis panduan untuk aktiviti keagamaan melibatkan rumah ibadah akan ditentukan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR).
#Sarawak #dine-in #PPN #fasa kedua #JPBNS #MIS #UNIFOR
;