Dinding penahan tanah runtuh, terasa seperti gempa bumi kecil - Mangsa

Bernama
Ogos 22, 2024 22:51 MYT
Kira-kira 10 rumah di sepanjang dinding penahan berkenaan direntang tali amaran kuning oleh pihak polis, manakala anggota JBPM dan Skuad Penyelamat DBKL sedang mengawasi situasi. - Foto: Orang awam/Media sosial
KUALA LUMPUR: Runtuhan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang berhampiran Kem Wardieburn di sini akibat hujan lebat petang tadi menyebabkan gegaran umpama gempa bumi kecil, menurut mangsa.
Seorang peniaga Azmi Baharudin, 55, berkata runtuhan itu menyebabkan lantai rumahnya yang berada di belakang dinding penahan berkenaan bergegar.
"Pada masa itu, hujan agak lebat sejak 4 petang, tiba-tiba saya dengar satu bunyi kuat dari belakang rumah dan lantai rumah bergegar," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Azmi berkata dia kemudian pergi melihat keadaan di belakang rumah dan mendapati sebahagian daripada tembok penahan tanah telah runtuh.
"Selang kira-kira 10 minit kemudian pihak berkuasa datang untuk memeriksa kawasan berkenaan dan kami diarahkan berpindah sementara untuk keselamatan kerana masih terdapat aliran air pada tebing dan hujan masih belum berhenti," katanya.
Azmi berkata buat masa ini, dia bersama isteri dan dua anak perempuannya memutuskan untuk berlindung di surau taman perumahan itu yang dijadikan lokasi penempatan sementara mangsa yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 10 rumah di sepanjang dinding penahan berkenaan direntang tali amaran kuning oleh pihak polis, manakala anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang mengawasi situasi berikutan masih terdapat aliran air dalam tanah.
Terdahulu, JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan tanah runtuh kira-kira 5.40 petang tadi sehingga menjejaskan sebuah rumah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang lagi penduduk terjejas Amran Awang, 19, berkata kejadian berkenaan pertama kali berlaku di taman perumahan itu sejak beliau menetap di situ.
"Ketika kejadian saya berada di luar dan sebaik sampai ke rumah, anggota polis datang dan menasihatkan saya untuk berpindah sementara ke surau. Saya tidak tahu berapa hari saya kena berpindah, polis cuma cakap sehingga keadaan disahkan selamat," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata semua lorong di Jalan Genting Klang menghala Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kawasan berlakunya insiden itu ditutup sementara untuk semua kenderaan.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata semua kenderaan dari arah pusat bandar dilencongkan ke Jalan Tumbuhan dan Jalan 1/27a ke arah Wangsa Maju dan anggota polis telah ditugaskan membuat kawalan di lokasi terlibat bagi memastikan aliran trafik lancar.
Selain itu, beliau berkata aliran trafik di empat lokasi lain di ibu negara bergerak perlahan akibat air bertakung selepas hujan berterusan di ibu negara sejak petang tadi.
"Lokasi yang terkesan akibat air naik ialah Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Ipoh, Jalan Genting Klang menghala ke Jalan Usahawan, Jalan Kuching susur turun bulatan Segambut menghala pusat bandar dan Jalan Kuching menuju ke Taman Wahyu," katanya.
-- BERNAMA
#dinding penahan #penahan tanah #gegaran #mangsa #kediaman terjejas #Taman Bunga Raya
;