Dinding Mydin Manjoi runtuh, dua cedera terkena serpihan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 22, 2024 14:25 MYT
Dua remaja lelaki cedera terkena serpihan batu bata selepas dinding pasar raya besar Mydin di Manjoi, Ipoh yang terbakar Mac lalu, runtuh dalam kejadian petang ini. - Foto ihsan bomba
IPOH: Dua remaja lelaki cedera terkena serpihan batu bata selepas dinding pasar raya besar Mydin di Manjoi, Ipoh yang terbakar Mac lalu, runtuh dalam kejadian petang ini.
Kedua-dua mangsa dikatakan sedang melalui kawasan tersebut dengan menaiki motosikal ketika kejadian berlaku.
Mereka kemudiannya telah dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 4.45 petang.
“Runtuhan melibatkan dinding sebelah kanan (bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta) dan melibatkan sebuah motosikal yang sedang melalui jalan bersebelahan pasar raya Mydin.
“Kejadian melibatkan dua orang mangsa yang menaiki motosikal melalui kawasan tersebut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan batu bata runtuhan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, setakat ini pihak bomba tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua mangsa.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Khairudin Hussein tamat pada jam 5.32 petang.
Pada 10 Mac lalu, kebakaran besar berlaku di Pasaraya Mydin di Manjoi, yang memusnahkan pusat membeli belah berkenaan.
Kebakaran yang bermula kira-kira pukul 7.09 malam disahkan berpunca daripada panel pembahagi elektrik (electrical distribution board) di stor pasar raya itu.
Jumlah kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan kira-kira RM50 juta tetapi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, anggaran itu mungkin bertambah setelah proses penilaian dilakukan.
#Mydin Manjoi #dinding runtuh #terbakar #cedera