Dilema peniaga generasi pertama Pasar Siti Khadijah
Marlina Manaf
April 17, 2018 11:10 MYT
April 17, 2018 11:10 MYT
Kak Yah tidak sihat hari itu.
Pucat, dan ada tanda-tanda penat.
"Kak Yah tok berapo segar ni, tapi gak keno nego la jugok (Kak Yah tak berapa sihat, tapi tetap kena meniaga)," bisiknya ketika saya suarakan hasrat ingin menemubualnya.
Kak Yah atau nama sebenarnya Siti Fatimah Yusof, 64 tahun, adalah peniaga generasi pertama di Pasar Siti Khadijah.
Dia mula bertapak di pasar itu sejak 30 tahun lalu, sejak ia dibuka.
Duit hasil jualan barangan runcit di pasar ini berjaya menyekolahkan tujuh anak Kak Yah.
Kak Yah suka meniaga. Walaupun tidak sihat, dia gagahkan diri ke pasar.
Kalau di rumah, bosan dan sunyi terlampau, yang sihat jadi sakit.
Di pasar, Kak Yah boleh bertemu macam-macam bentuk pelanggan, sunyinya terisi.
"Puah duduk di rumoh, dok termenung, takdok gapo nok buak (Bosan duduk di rumah, asyik termenung, tak ada apa nak buat)," katanya.
Berdasarkan pemerhatian, jiran-jiran gerai Kak Yah kebanyakannya sudah masuk generasi kedua.
Sebahagian besar mereka meneruskan legasi ibu atau bapa mereka.
Kak Yah antara peniaga yang masih utuh.
Sampai bila Kak Yah nak meniaga?
"Sampai akhir hayat bekalih, tok tau nok royat lagu mano (Sampai akhir hayat agaknya, tak tahu nak cakap macam mana).
"Takdok sapo nok tulung jual, ado anok hok minak, tapi gak masing-masing ado masaloh sendiri (Tiada yang nak teruskan perniagaan ini, ada anak yang minat, tapi mereka ada masalah masing-masing yang jadi halangan)," terang Kak Yah.
Kak Yah cerita dia pernah cuti meniaga hampir setahun kerana sakit saraf.
Dua bulan dia terlantar di hospital, dan proses pemulihan memakan masa berbulan-bulan.
Kata Kak Yah, dia anggap meniaga sekadar isi masa tuanya, sambil kumpul duit simpanan Tabung Haji untuk ke Mekah.
Kak Yah harap satu hari nanti ada peluang untuknya menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Dan Kak Yah berharap ketika itu, anaknya yang ada minat meniaga, sudah cukup ilmu dan berani untuk meneruskan legasinya di Pasar Siti Khatijah.
Harapan Kak Yah juga, ada ruang dan kesempatan anaknya dapat peluang belajar ilmu keusahawanan untuk mengukuhkan lagi perniagaan.