Dikritik di media sosial, DBKL perjelas tindakan padam mural di hentian bas, kiosk

Sinar Harian
Mac 19, 2025 14:15 MYT
Antara mural yang didakwa telah dipadamkan oleh DBKL. Reaksi daripada salah seorang pelukis mural berhubung tindakan DBKL itu. - Foto media sosial
KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memadamkan lukisan mural di beberapa hentian bas dan kios sekitar ibu kota mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, langkah tersebut sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pengindahan 21 hentian bas dan kios yang sedang dijalankan menjelang Mesyuarat Kepengerusian ASEAN 2025.
Menurut DBKL, setakat ini 18 hentian bas telah diselenggara dengan kerja-kerja mengecat, membaik pulih struktur dan menukar bumbung bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
"Semua hentian bas dan kios dicat dengan warna kelabu gelap, selaras dengan standard DBKL," menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu pada Rabu.
Mengulas lanjut, DBKL turut menjelaskan bahawa mural tersebut dilukis tanpa kebenaran rasmi, menyebabkan ia dipadam selaras dengan prosedur penyelenggaraan yang ditetapkan.
"Mural yang terlibat berada di Jalan Raja Chulan (dua unit) dan Jalan Raja Azlan Shah (satu unit). Selain itu, kios di Jalan Raja Azlan Shah turut dirobohkan kerana sudah usang dan tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih," jelas DBKL.
Walaupun DBKL menghargai usaha komuniti seni dalam memperindahkan bandar, pihak berkuasa tempatan itu menegaskan bahawa semua lukisan mural di tempat awam perlu mendapatkan kelulusan bagi memastikan kesesuaiannya dengan persekitaran bandar.
Namun, tindakan tersebut menerima kritikan daripada sebilangan pihak yang berpendapat bahawa DBKL sepatutnya lebih terbuka terhadap seni jalanan yang mampu menambah nilai estetika bandar raya.
Ada juga yang berpendapat bahawa pemadaman mural tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan pelukis atau komuniti seni menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap usaha kreatif mereka.
Sehubungan itu, DBKL mengalu-alukan perbincangan dan cadangan daripada mana-mana pihak yang ingin menyumbang secara sah dan terancang dalam memperindahkan Kuala Lumpur. - Sinar Harian
#DBKL #lukisan mural #padam mural #Tular
;