Dikompaun RM50,000, peniaga colek akui tidak mungkin mampu bayar walau diberi pengurangan

Muhafandi Muhamad
April 27, 2021 17:55 MYT
Mohd Azizi mendakwa, dia dan isterinya sudahpun menutup kedai pada jam 10 malam, malah sebahagian lampu juga sudah dipadamkan sebelum ketibaan anggota polis terbabit. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BHARU: Selepas kecoh peniaga burger dikompaun RM50,000 di sebuah kampung di sini, pada Ahad malam, seorang lagi peniaga colek di Kampung Chekok Tengah di sini, mendedahkan turut menerima nasib sama.
Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga di hadapan rumahnya pada sebelah malam pada bulan Ramadan dengan konsep bungkus dan bawa pulang, mendakwa didatangi beberapa anggota polis pada jam 11.20 malam Ahad.
Dakwanya, anggota terbabit kemudian terus mengeluarkan notis kompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan, menyebabkan dia dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, terkejut.
"Saya terkejut... tak tahu nak kata apa melihat jumlah yang kami kena bayar. Berniaga di depan rumah ini pun bukan senang, nak dapat RM100 semalam pun susah kerana hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.
"Dengan jumlah itu, memang kami tak mampu bayar... Kalau diberi pengurangan sehingga 80 peratus pun kami takkan mampu bayar," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Cerita Sebalik Berita: Peniaga burger dikompun RM50 ribu, KKM pertimbang kesalahan
BACA: Jual burger depan tangga rumah, peniaga kecewa dikompaun RM50,000
BACA: Bukan lagi RM50,000, nilai kompaun ke atas peniaga burger depan rumah diteliti semula - Polis
Menceritakan lanjut, Mohd Azizi mendakwa, dia dan isterinya sudahpun menutup kedai pada jam 10 malam, malah sebahagian lampu juga sudah dipadamkan sebelum ketibaan anggota polis terbabit.
Katanya, hanya lampu bahagian dapur belum dipadam kerana mereka sedang mengemas sambil dia menggoreng keropok untuk anak-anak yang belum tidur ketika itu.
Katanya, dia terpaksa membuka kedai pada waktu malam untuk mencari rezeki pada bulan Ramadan disebabkan tidak boleh berniaga menjual mi celup seperti biasa pada waktu siang.
"Inilah cara kami untuk mencari rezeki menyara hidup kami termasuk lima anak yang masih bersekolah, selain tiga anak saudara.
"Bila kena kompaun macam ini, memang kami agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah terus kena RM50,000," katanya.
Katanya, dia dan isteri sudah mengemukakan rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah semalam, namun belum dimaklumkan jumlah pengurangan yang akan diberikan.
Kedua-dua mereka berharap ada pihak tampil membantu bagi menyelesaikan kompaun itu kelak.
Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga burger kecewa apabila dikompaun RM50,000 oleh pihak polis kerana kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.
Dengan hanya berniaga di hadapan rumahnya Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, didatangi pihak polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggannya kira-kira jam 11 malam.
Pada Selasa, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, pada malam Ahad.
#peniaga burger #peniaga colek #dikompaun #maksimum #tidak mampu bayar #berniaga depan rumah #kecil-kecilan
;