Dikatakan lebih jimat, lebih lestari, adakah berbaloi pakai EV?
Bernama
Oktober 9, 2024 10:15 MYT
Oktober 9, 2024 10:15 MYT
KUALA LUMPUR: Populariti kenderaan elektrik (EV) semakin meningkat bukan sahaja sebagai simbol kemajuan teknologi moden tetapi juga untuk kelestarian alam sekitar, selain penjimatan kos operasi termasuk penyelenggaraan jangka panjang.
Persoalannya, adakah berbaloi untuk kita beralih daripada kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman?
Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ishak Aris melihat peralihan kepada EV pada masa kini sebagai relevan, malah menjangkakan trend tersebut akan lebih rancak selepas pengeluaran EV mampu milik oleh syarikat tempatan pada tahun hadapan.
"Buat masa ini, model kereta EV ditawarkan adalah jenama import berharga RM100,000 ke atas, jadi apabila ada pilihan lebih mampu milik, ia akan menarik lebih ramai pengguna," katanya kepada Bernama.
Perodua merancang mengeluarkan EV mampu milik pada hujung tahun 2025, manakala Proton akan memperkenalkan model EV pertama hasil kerjasama dengan Geely seawal tahun hadapan (2025), menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat tempatan dalam pasaran EV.
Ishak berkata, berdasarkan data Malaysia Automative Robotics and IoT Institute (MARii), terdapat lebih 2,500 infrastruktur pengecasan termasuk di kawasan rehat dan rawat seluruh negara dan menjangkakan kemudahan itu akan bertambah.
Beliau juga berpandangan, EV mampu menjadi alternatif setara, seiring perkembangan teknologi yang antara lain akan menyaksikan spesifikasi bateri ditawarkan lebih baik serta berupaya meliputi jarak perjalanan lebih jauh pada harga lebih murah.
Selain itu, beliau juga percaya akses kepada alat ganti dan kepakaran baik pulih akan bertambah meluas di masa hadapan, yang akan banyak membantu kepada pemilikan kenderaan berkenaan.
"Ia bergantung kepada keperluan individu, sama ada mereka mahukan kos jangka panjang lebih rendah dan mesra alam, atau lebih selesa dengan teknologi kenderaan konvensional," katanya yang juga berpandangan, harga petrol dan diesel tidak menentu menjadi faktor penting peralihan kepada EV.
Menurut Ishak, berdasarkan data dikeluarkan MARii, lebih 36,000 kenderan EV didaftar digunakan di jalan raya sehingga Disember tahun lepas (2023) bersamaan 4.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di jalan raya.
Sementara itu, Aaron Kee, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan CARSOME, platform peniagaan kereta terpakai dalam talian berkata, kedua-dua kenderaan EV dan ICE tradisional akan terus digunakan untuk jangka masa yang agak panjang juga.
Ini kerana, katanya, infrastruktur serantau di samping kecenderungan pengguna dan kesediaan pasaran yang banyak perbezaannya.
Menurut beliau, masih terlalu awal untuk meramalkan nilai penjualan semula kenderaan elektrik kerana pendokongan EV masih lagi dalam peringkat permulaan, sementara kereta konvensional mempunyai rekod prestasi yang lebih baik untuk pengekalan harga.
Beliau berkata, pasaran EV melalui evolusi yang pesat, mencetuskan ketidaktentuan jangka pendek serta naik turun dalam nilai jualan.
"Permintaan untuk EV terpakai masih lagi belum berkembang kerana penggunaannya juga masih di peringkat permulaan. Meskipun kereta konvensional terus menguasai pasaran, ketidaktentuan jangka pendek dan pindaan harga yang kerap dalam kalangan EV baharu membuatkan sesetengah pengguna mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
"Kami jangkakan keadaan ini akan berterusan sehingga pasaran menjadi stabil. CARSOME akan terus memantau peralihan pasaran untuk meminda penilaian dan strategi jualan semula kami untuk EV pra-milik. Fokus kami adalah untuk menyediakan pelbagai tawaran yang memenuhi keperluan pengguna kami yang berbagai," katanya.
Pengguna Mohd Ubaidillah Norzihan, 35, berkata, pengecualian cukai jalan sehingga tahun 2025, penyelenggaraan lebih mudah dan lebih murah menjadi antara faktor beliau beralih kepada EV sejak empat bulan lepas.
"Tak perlu pening penyelenggaraan berkaitan servis minyak enjin, kotak gear dan sebagainya, hanya pad brek, tayar dan pengemaskinian perisian.
"Tapi macam saya, tinggal di apartmen yang tak benarkan pemasangan pengecas dinding, kos caj di luar lebih kurang sama macam penggunaan petrol iaitu sekitar RM400 sebulan , tapi macam kakak saya yang caj di rumah, kos dia hanya sekitar RM100 sebulan ," katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak fasiliti pengecasan dibina tanpa perlu memuat turun aplikasi berbeza. - BERNAMA