Dijanji pekerjaan ladang, tapi akhirnya dirantai dan didera

Noraniza Kamsani
Julai 14, 2019 21:08 MYT
Salah seorang mangsa dirantai ketika diselamatkan polis dalam satu serbuan di Kampung Jeram Bungor Kerambit di Lipis, Pahang pada Sabtu. - Foto ihsan polis
Dijanjikan sebagai pekerja ladang, namun realitinya didera dan dirantai oleh majikan, serta dipaksa bekerja selama 12 jam sehari tanpa rehat, dan tidak pernah diberi cuti.
Tiga lelaki warga India yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia mengisahkan penderitaan mereka yang bermula sejak tiba di negara ini pada Disember.
Namun, salah seorang mereka berjaya melarikan diri dan akhirnya diselamatkan polis di sebuah premis di Kampung Jeram Bungor Kerambit di Lipis, Pahang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga merupakan majikan mangsa.
Menurut Azli, ketiga-tiga mangsa berusia antara 33 dan 48 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia untuk bekerja di ladang kelapa sawit.
Difahamkan, mereka dibawa masuk melalui khidmat ejen di India sejak Disember lalu untuk bekerja dalam sektor perladangan.
"Bagaimanapun bermula 15 Disember sehingga hari ini mangsa hanya menerima bayaran gaji RM600 sahaja," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
"Pasport dan telefon bimbit juga disimpan oleh anak majikan. Salah seorang mangsa berusia 48 tahun pula juga dirantai dan dipukul serta didera lebih kurang sebulan serta mengalami kecederaaan di tangan kiri," katanya lagi.
Bagaimanapun, nasib malang ketiga-tiga mangsa berakhir selepas seorang daripada mereka berjaya melarikan diri untuk membuat laporan polis.
Polis kemudian menyerbu rumah kongsi yang diduduki mereka lalu menahan majikan mereka bermula Ahad selama empat hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
#Anti Pemerdagangan Orang #Anti Penyeludupan Migran #human trafficking #Kampung Jeram Bungor Kerambit #migran #pekerja asing #pekerja ladang #pemerdagangan manusia #Perlis #Polis Daerah Lipis #warga india
;