Dihukum penjara 40 tahun, 20 sebatan gara-gara pecah amanah
Astro Awani
Mac 27, 2017 15:00 MYT
Mac 27, 2017 15:00 MYT
Seorang pengurus sebuah restoran di Bandar Raya Melaka dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 20 pertuduhan pecah amanah wang hasil jualan restoran terbabit awal tahun ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim Norma Ismail selepas mendengar rayuan tertuduh C Baldev Singh, 36, yang membuat pengakuan bersalah atas kesemua pertuduhan membabitkan jumlah RM64,620.25.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang telah diamanahkan untuk untuk menguruskan wang hasil jualan harian premis terbabit didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan semua wang itu bagi kegunaan peribadi.
Kesemua pertuduhan itu dilakukan di premis Rock Bottom Kitchen & Bar Melaka, sekitar 21 Februari hingga 12 Mac tahun ini.
Justeru, tertuduh yang berasal dari Pulau Pinang itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah untuk meringankan hukumannya.
Dalam nada sebak, tertuduh berkata sepanjang lima tahun dipertanggungjawabkan untuk mengurus wang jualan restoran itu, ini kali pertama dia menyeleweng wang terbabit berikutan terpaksa mendapatkan perbelanjaan membiayai perubatan ibunya yang menghidap penyakit jantung kronik.
Sejurus mendengar rayuan tertuduh, Norma pada penghakimannya kemudian memutuskan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, hukuman penjara diperintah berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya N Sivashangari.