Dihendap lelaki sama, Miss Universe Malaysia buat laporan polis

Nickyson Nyambar
Januari 18, 2023 20:29 MYT
Francisca mendakwa, lelaki itu mengenakan jubah putih ketika cuba menghampirinya dalam kejadian tahun lalu. - Gambar/ IG Francisca
KUALA LUMPUR: Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James pada Selasa berkongsi pengalaman cemas diganggu seorang lelaki tidak dikenali di sebuah lokasi di Ampang, baru-baru ini.
Lebih menakutkan, dakwanya lelaki itu merupakan individu sama yang mengekorinya tahun lalu.
Francisca ketika dihubungi Astro AWANI berkata, dia telah membuat laporan polis bagi menyiasat insiden berkenaan.
"Saya diganggu hari ini (Selasa) oleh seorang individu sama yang mengganggu saya hampir setahun yang lalu ketika minggu fesyen Kuala Lumpur (KLFW) berlangsung.
"Saya tidak pernah mendedahkan perkara ini kepada umum. Oleh kerana ini bukan kali pertama (ia berlaku) dan saya merasakan wanita di luar sana perlu lebih berjaga-jaga terutama di kawasan ini," kata Francisca dalam satu hantaran di Instagram.
Bercerita lanjut, dakwa ratu cantik kelahiran Sarawak itu lagi, lelaki itu mengenakan jubah putih ketika cuba menghampirinya dalam kejadian tahun lalu.
Lebih mengejutkan, dakwanya lelaki itu bertanya sama ada dia berkeseorangan, malah berani mengajaknya ke bilik hotel untuk berbual.
"Meskipun pelawaannya itu ditolak dengan baik, dia enggan berbuat demikian. Dia malah mengekori saya dari belakang sebelum bertindak mengejar saya ketika sedang berjalan menuju ke sebuah pasar raya.
"Saya dengan cemas berjalan cepat dan segera menghampiri seorang individu yang saya kenali di acara KLFW sebelum lelaki berkenaan beredar," kongsinya.
Mengenai pengalaman yang dilaluinya baru-baru ini, kata Francisca, dia terkejut apabila terjumpa dengan lelaki sama.
"Ketika itu, saya sedang menunggu pemandu e-hailing di lobi hotel. Saya terkejut apabila mendapati lelaki itu tiba-tiba berada di hadapan saya.
"Lebih menakutkan, lelaki yang mengenakan pakaian sama itu dilihat meletakkan sesuatu pada leher yang kelihatan seperti minyak.
"Saya lantas berdiri dan melarikan diri ke bangunan sebelah sebelum menghubungi rakan untuk mendapatkan bantuan keselamatan," ujarnya.
Tidak terhenti di situ, dakwanya lelaki berkenaan sekali lagi mengekori dan duduk berdekatannya.
"Pekerja di situ sudah mengetahui situasi yang dihadapi saya dan memaklumkan perkara itu kepada pengurus mereka.
"Lelaki itu masih berada di situ dan terus mengikuti saya meskipun saya telah beralih tempat.
"Saya cuba untuk mengelak bertentang mata dengannya dan mengangkat telefon. Tidak lama selepas itu pengawal tampil dan lelaki berkenaan meninggalkan premis terbabit," dakwanya.
Francisca turut mempersoalkan sama ada adakah lelaki itu menghendapnya atau hanya kebetulan.
"Saya berkongsi pengalaman ini kerana ini bukan kerana saya ingin mengaibkan seseorang, namun ini bukan kali pertama ia berlaku. Cuma kali ini dia tidak bercakap dengan saya, mungkin disebabkan ramai orang.
"Saya ingin mengingatkan wanita di luar sana, sekiranya mereka terserempak dengan individu ini, tolong berhati-hati dan jangan bertentang mata dengannya.
"Saya terlalu panik pada awalnya dan trauma dengan kejadian yang berlaku sebelum ini. Saya juga merasakan, atas dasar pemakaiannya, dia tidak pernah dipersoalkan atau dikejar pihak berkuasa.
"Tetapi tolong berhati-hati, kerana kita tidak tahu niat sebenar seseorang, lebih-lebih lagi ada yang sanggup menggunakan apa sahaja untuk menutup niat jahat mereka," tegas Francisca.
Francisca turut mengingatkan agar golongan wanita untuk tidak mudah mempercayai sesiapa, lebih-lebih lagi individu yang tidak dikenali.
Buat masa ini, Francisca masih lagi menanti perkembangan laporan polis yang dibuat.
#Miss Universe Malaysia 2020 #Francisca Luhong James #stalker #diganggu lelaki tidak dikenali
;