Dihanyut arus sungai, tujuh pemancing dikhuatiri lemas

Astro Awani
Februari 19, 2018 21:06 MYT
Seramai 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dan Batu Arang dikerahkan ke lokasi kejadian. - Ihsan JBPM
Tujuh pemancing dikhuatiri lemas, selepas dihanyutkan arus deras sungai ketika sedang memancing berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh, kira-kira jam 5 petang Isnin.
Ketua Balai Bomba Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.39 petang.
Seramai 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dan Batu Arang dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Kita mendapat maklumat terdapat sembilan mangsa sedang memancing di kawasan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras sungai.
"Dua daripada mereka berjaya diselamatkan manakala tujuh lagi dikhuatiri lemas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Muhamad Hazrin berkata, sehingga jam 8.30 malam, pihaknya masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
#bomba #hilang #lemas #pemancing
;