#DigitalUntukSemua: Pelajar iCEPS dekati kaum pribumi
Azyyati Ahmad
Januari 23, 2022 11:05 MYT
Januari 23, 2022 11:05 MYT
DENGKIL: Pelajar-pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM iCEPS telah memilih untuk menganjurkan Program Jendela Digital Bersama Orang Asli Kampung Sungai Buah, Dengkil.
Selaras dengan moto program #DigitalUntukSemua, pelajar-pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM menganjurkan program Jendela Digital Bersama Orang Asli Kampung Sungai Buah dalam usaha mengurangkan jurang digital di antara kaum pribumi dan teknologi semasa.
“Program ini menumpukan kepada pendedahan digital selaras dengan pengukuhan komunikasi ke arah teknologi 5G.
“Melalui pendedahan ini, ia membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui teknologi media sosial selaras dengan norma baharu pasca pandemik COVID-19,” kata Penyelia Projek dan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Shira Haniza Yaakop.
Seramai 50 orang penduduk Kampung Orang Asli Sungai Buah dianggarkan mengambil peluang dalam memantapkan pengetahuan mereka mengenai pendedahan tentang teknologi terutamanya media sosial.
Program Jendela Digital yag berlangsung Jumaat lalu turut dihadiri oleh Tok Batin Kampung Sungai Buah, Juli bin Blat.