Digitalisasi bantu pelanggan cekap, efisien urus tenaga - TNB
Astro Awani
Ogos 12, 2022 11:00 MYT
Ogos 12, 2022 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pembekal tenaga negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengorak langkah ke hadapan apabila melaksanakan pelbagai usaha untuk mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat dengan memberikan keutamaan terhadap pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaludin Megat Hassan berkata, sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 akan tercapai sekiranya pelanggan dapat mengamalkan amalan penggunaan tenaga dengan lebih cekap dan efisien.
Justeru, katanya, penerapan aspek digitalisasi masa kini seperti pemasangan meter pintar dan aplikasi myTNB akan membolehkan interaksi antara pelanggan, sekali gus mencapai agenda kelestarian yang disasarkan.
“Pemasangan meter pintar ini memberikan sumber data, iaitu merekodkan banyak data penggunaan tenaga, dan data-data ini akan digabungkan dan disalurkan ke dalam aplikasi myTNB. Pelanggan boleh terus melihat penggunaan tenaga harian di aplikasi myTNB tanpa perlu melihat meter secara fizikal.
“Selain itu, dalam aplikasi juga ada maklumat pelbagai jenis trend penggunaan, boleh dapatkan penggunaan harian dan sebulan, malah boleh mengurus dan memantau penggunaan elektrik.
"Ia juga mudahkan pelanggan apabila (data) dipaparkan dalam bentuk graf, serta (penggunaan tenaga) dalam per kilowatt jam (kWh) atau ringgit,” katanya dalam 'AWANI Pagi: Komitmen TNB ke arah persekitaran hijau dan lestari', pada Selasa, 19 Julai 2022.
Mengulas lanjut, Megat Jalaludin menambah, aplikasi myTNB pada asasnya dibangunkan untuk membolehkan pelanggan melihat salinan bil dalam bentuk digital dan membayar bil secara automatik melalui kad kredit/debit serta perbankan dalam talian.
Namun, ia kini terus dikembangkan dengan ciri-ciri lebih efisien demi keselesaan pelanggan.
“Antara salah satu ciri yang mula diperkenalkan ialah Energy Budget, iaitu kita beri peluang kepada pelanggan untuk set bajet penggunaan elektrik untuk sebulan dengan sasaran ditetapkan. Setiap hari boleh tengok penggunaannya sama ada on track dan apabila sudah mencapai 75 peratus, pelanggan akan diberi notifikasi.
“Kita juga akan bangunkan ciri lain dari segi pembayaran, iaitu menambah Boost dan Touch ‘n Go eWallet. Ini adalah satu saluran popular kita dalam pembayaran bil TNB. Ketika ini, pelanggan hanya boleh guna eWallet di aplikasi tertentu sahaja seperti Boost dan Touch ‘n Go, tetapi kali ini kita akan mudahkan. Dengan satu klik sahaja sudah boleh gunakan eWallet.
“Satu lagi ialah bil elektrik. Walaupun bil elektrik kita hantar (kepada pelanggan), tetapi melalui aplikasi myTNB, pengguna mempunyai pilihan untuk melihat bil secara digital. Justeru itu, kita amat galakkan penggunaan bil digital sahaja tanpa perlu bil dicetak lagi,” ujarnya.
Katanya lagi, TNB turut menyasarkan penggunaan aplikasi myTNB terus meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus pada tahun-tahun ke hadapan, di samping menggalakkan semua pelanggannya memuat turun aplikasi berkenaan di Google Play, Apple App Store atau Huawei Gallery.