Diesel: Naikkan kuota munasabah demi kepentingan awam - Ahmad Zahid
Madiha Abdullah
Oktober 29, 2024 20:45 MYT
Oktober 29, 2024 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kepada pengusaha bas ekspres agar membuat resolusi bagi memohon kerajaan agar menaikkan kuota subsidi diesel kepada 10,000 liter sebulan.
Katanya, kenaikan sebanyak 4,000 liter berbanding kuota ketika ini itu dilihat munasabah dan sejajar keperluan penggunaan setiap bas.
“Saya merasakan bahawa sebagai kerajaan yang prihatin, pada hemat saya, ini adalah kepentingan awam dan bukan hanya kepentingan pengusaha bas ekspres.
“Kepentingan awam harus diutamakan kerana kita menyantuni kira-kira 50 juta penumpang setiap tahun.
“Apa pilihan lain jika kuota untuk diesel tidak ditambah? Tentulah kenaikan harga tambang, jadi adalah munasabah untuk permohonan ini dipertimbangkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), pada Selasa.
Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam Dewan Rakyat memaklumkan kuota subsidi diesel RM1.88 seliter bagi bas ekspres ditingkatkan kepada 6,000 liter sebulan berbanding 2,880 liter sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid menegaskan, sebagai langkah jangka panjang, PEMBAWA dan syarikat ekspres yang lain harus melakukan perubahan terutama apabila kerajaan kelak akan menyarankan bas yang menggunakan tenaga fosil ditukar kepada kenderaan elektrik (EV).
Tegasnya, cadangan itu mungkin tidak digemari terutama pelabur, namun ia akan dapat dilihat dari segi kecekapan kos jangka panjang.
“Kita tahu kos untuk setiap bas mungkin akan bertambah tapi dari segi jangka panjang, ia akan mengurangkan kos operasi,” katanya lagi.