DidikTV KPM bantu pelaksanaan PdPR - Muhyiddin

Astro Awani
Februari 17, 2021 09:23 MYT
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada perasmian saluran khusus TV pendidikan secara terestrial, DidikTV KPM di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membantu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama anak-anak.
"Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa dalam situasi sukar ini.
"Sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran serta bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, KPM menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7," katanya semasa pelancaran saluran TV pendidikan KPM, DidikTV pada Rabu.
BACA: Pertimbang bantu pelajar terkesan PdPR - Zulkifli
BACA: PdPR: Jangan kecam warga pendidik, berikut perkongsian pengajaran dalam talian berjalan lancar
DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.
Saluran itu juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
DidikTV KPM memulakan siaran pertamanya hari ini dan bersiaran bermula jam 7 pagi sehingga jam 12 tengah malam setiap hari.
Selain itu, jelas Muhyiddin, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.
Dalam pada itu katanya, segala usaha memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.
Beliau turut mengajak semua untuk bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.
DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran NTV7 di TV Unifi.
Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena pula, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.
#KPM #DidikTV #pendidikan #Astro #guru #dalam talian #PdPR #tv pendidikan #kurikulum #didik hibur #pembelajaran sepanjang hayat #nilai murni
;