Didera, rogol, renjat elektrik, dikurung bilik tikus jika gagal - Mangsa scammer

Astro Awani
November 19, 2023 10:30 MYT
Rakyat Malaysia yang juga salah seorang mangsa sindiket tersebut, Ikram berkata, hukuman itu dikenakan terhadap mereka yang gagal menunjukkan prestasi baik dalam tugasan. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Didera secara fizikal termasuk dirogol, dipukul dengan kayu pemukul kriket, direnjat elektrik dan kurung dalam bilik yang dipenuhi tikus, itu antara hukuman terpaksa dilalui mangsa pemerdagangan manusia di KK Garden Myawaddy, Myanmar.
Rakyat Malaysia yang juga salah seorang mangsa sindiket tersebut, Ikram berkata, hukuman itu dikenakan terhadap mereka yang gagal menunjukkan prestasi baik dalam tugasan.
Ujarnya, sindiket tersebut sering menakutkan mangsa dengan mengenakan denda dan mengugut mereka dengan pelbagai ancaman.
“Setiap hari mangsa perlu dapatkan sekitar lapan hingga 10 mangsa dan kalau tak cukup, ketua akan bagi denda, mungkin kena datang sejam atau dua jam awal.
"Selepas itu, bila balik kerja pun kita kena hukum seperti tekan tubi 100 hingga 200 kali dalam ofis," katanya, baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat juga mangsa nekad membunuh diri dengan terjun daripada bangunan akibat terseksa dan tertekan dengan ugutan-ugutan yang diterima.
“Ada seorang mangsa warga Filipina terjun daripada tingkat 4 bangunan kerana begitu tertekan," kongsinya lagi.
Mengulas bagaimana boleh terjebak dalam penipuan sindiket itu, Ikram yang berasal dari Batu Pahat berkata, Johor berkata, dia tertarik dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan rakannya iaitu sebagai pengemas bilik dengan upah sebanyak AS$2,000 sebulan.
Anak keenam daripada 11 beradik itu menjelaskan, sindiket tersebut turut memberi modal sebanyak RM1,700 kepadanya bagi urusan membuat pasport, membeli tiket kapal terbang, pakaian serta makanan.
"Mereka beri wang dan maklum supaya buat pasport dan belanja untuk ke Thailand kerana pada saat akhir mereka kata (pekerjaan) pengemas bilik di Singapura itu sudah tidak ada, jadi mereka tukar ke Thailand.
"Masa itu kami duduk di Johor Bahru sekejap kemudian bertolak ke (lapangan terbang) Bangkok, Thailand dan bila sampai sana kita (diberitahu) teksi jemput dan dihantar ke daerah Mae Sot.
"Sampai di Mae Sot, kami menginap untuk satu malam dan keesokan harinya sebuah kenderaan pacuan empat roda datang menjemput," ulasnya.
Jelasnya lagi, kenderaan itu kemudiannya membawa dia dan mangsa-mangsa sindiket penipuan lain ke laluan tikus yang menghubungkan sempadan Thailand-Myanmar.
"Masa itu, kami agak mungkin sudah dijual dan memang dah tidak boleh berbuat apa-apa sebab ada di (Thailand) tempat orang.
"Duit pada ketika itu pun, cukup-cukup saja. Jadi kita terpaksa ikut, lalu ladang jagung dan sungai ke kawasan tersebut," jelasnya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan jenayah scammer atau penipuan kini dikategorikan pada tahap 'scamdemic', selepas menyaksikan hampir 40 peratus responden mengakui pernah berdepan dengan cubaan penipuan daripada lubuk scam, yang dipercayai beroperasi dari Myanmar, Laos serta Kemboja menggunakan teknologi siber.
Dapatan itu didedahkan hari ini dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Huayan Policy Institute (HPI).
#lubuk scam #Jenayah scammer #Kaji Selidik lubuk scam #mangsa scammer
;