Didenda RM20,000 lindungi PATI dalam premis

Sinar Harian
Ogos 10, 2024 11:50 MYT
Antara PATI warganegara Myanmar yang di bawah untuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen PATI Kemayan, Bera pada Khamis lalu. - Foto Facebook/JIM Pahang
KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang mendakwa seorang penjaga premis warga tempatan dan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar di Mahkamah Sesyen PATI Kemayan, Bera pada Khamis lalu.
JIM Pahang dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan, penjaga premis tersebut didenda RM20,000 selepas mengaku salah atas tuduhan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membenarkan PATI berada di premis mereka.
Menurut kenyataan itu, 11 PATI warga Myanmar dipenjara antara lima hingga tujuh bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
"Semua tertuduh yang didakwa adalah tangkapan hasil operasi penguatkuasaan JIM Pahang sepanjang Julai tahun ini," jelasnya.
JIM Pahang mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil pekerja asing tanpa pas atau permit yang sah serta membenarkan PATI berada di premis mereka.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang memberi perlindungan kepada mereka," ujarnya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, JIM Pahang memaklumkan, menahan 36 PATI kerana disyaki masuk dan bekerja di negara ini secara haram hasil serbuan ke atas beberapa premis sekitar daerah Kuantan, Raub dan Lipis, Isnin lalu.
Menurut kenyataan itu, PATI yang ditahan berusia 22 hingga 51 tahun terdiri daripada 12 warga Bangladesh, Indonesia (11) Myammar (8), Thailand (3), Vietnam (1) dan India (1).
"Dalam operasi Ops Mahir, Selera dan Ops Minyak itu, seramai 89 individu diperiksa dan 36 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Semua tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut," katanya.
JIM Pahang dalam kenyataan itu turut memaklumkan pihaknya juga sedang mengesan pemilik premis terlibat bagi membantu siasatan. - Sinar Harian
#pati #warga asing #jabatan imigresen #penjaga premis
;