Didakwah anak sendiri, wanita akhirnya peluk Islam pada usia 101 tahun

Sinar Harian
Disember 21, 2024 12:40 MYT
Mohd Daud (kiri) mengucup dahi ibunya selepas ibunya yang berusia 101 tahun melafazkan kalimah syahadah dengan dibantu Firdaus.
KUALA LUMPUR: Dakwah yang disampaikan anak sendiri selama bertahun-tahun akhirnya membuka pintu hati seorang wanita warga emas apabila memeluk Islam pada usia 101 tahun.
Presiden Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata, warga emas itu bertuah kerana dikurniakan hidayah oleh Allah SWT pada usia lebih seabad.
“Saya dihubungi sahabat yang merupakan seorang peguam, Datuk Mohd Daud Leong untuk membantunya mengislamkan ibunya yang telah dia dakwah selama ini.
“Setelah bertahun-tahun lamanya Mohd Daud berdakwah kepada ibunya, akhirnya ibunya bersetuju untuk menerima dan memeluk agama Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Firdaus berkata, warga emas dari Shah Alam tersebut turut mengakui bahawa penghijrahan yang dilakukannya bukan kerana dipaksa sesiapa.
“Kami bertutur dalam dialek Kantonis. ‘Mak cik, ada Chai Chai (panggilannya kepada Mohd Daud) paksa mak cik masuk Islam ke?’ Saya cuba dapatkan pengesahan kerana tiada paksaan memeluk Islam.
“Mak cik menjawab dengan tenang, ‘Tak ada la. Mana ada. Saya sendiri mahu masuk Islam’. Senang hati saya mendengar jawapan dari mak cik,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Firdaus memaklumkan, beliau membantu warga emas berkenaan melafazkan kalimah syahadah dalam Bahasa Arab satu demi satu dan disusuli dengan terjemahan maksud syahadah dalam dialek Kantonis.
Katanya, selesai sahaja syahadah Mohd Daud terus memeluk dan mencium ibu tercintanya.
“Ya saya faham perasaan itu. Seolah-olah saya mengimbas kembali pada tahun 2019 ketika mengislamkan ibu saya sendiri.
“Anak mana yang tidak mahu melihat ibu bapa mereka turut memeluk Islam dan bersama mereka di jannah. Mereka hanya mampu menyampai dan mengajak tetapi tidak boleh sesekali memaksa,” katanya. - Sinar Harian
#Firdaus Wong #warga emas #peluk islam #Mohd Daud Leong
;