Didakwa rogol pelajar Tingkatan Empat, anggota polis ditahan
Abd Razak Mohd Ali
Januari 29, 2024 12:30 MYT
Januari 29, 2024 12:30 MYT
IPOH: Seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang mendakwa dirogol seorang Sarjan, tahun lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, yang mengesahkan perkara itu berkata, anggota polis itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada Ahad.
Beliau memberi jaminan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus.
“Kita telah menangkap suspek pada 28 Januari yang lepas dan kita dah siasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman sehingga 31 Januari 2024.
“Jadi kita akan menjalankan siasatan dengan telus dan dengan terbaik untuk memastikan keadilan kepada pihak mangsa, tidak kira melibatkan mana-mana suspek sekali pun, waima warga kerja kita sekali,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah mengambil keterangan daripada mangsa dan beberapa saksi bagi melengkapkan kertas siasatan.
Selain itu, katanya, Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan menjalankan siasatan untuk mengambil tindakan lanjut di peringkat jabatan
Pada Rabu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol seorang pegawai rendah polis berpangkat Sarjan dalam kejadian berasingan pada Julai dan Oktober tahun lepas.
Pelajar tingkatan empat itu mendakwa dirogol di dalam sebuah kereta di dua lokasi berasingan di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah.
Perbuatan itu diketahui selepas ibu pelajar terbabit mendesak anaknya sehingga mangsa membongkar perbuatan suspek berusia 42 tahun sebelum membuat laporan polis.