Didakwa pengikut Syiah: Mohamad Sabu perjelas lawatan ke masjid selatan Thailand

Astro Awani
Ogos 28, 2018 17:50 MYT
enteri Pertahanan Mohamad Sabu berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-61 di Wisma Perwira hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan lawatannya ke beberapa tempat di selatan Thailand, baru-baru ini adalah atas urusan peribadi.
Mohamad ditanya susulan tular di media sosial gambar beliau menghadiri sebuah program di sebuah masjid yang dikatakan masjid untuk pengikut fahaman Syiah di sana.
Bagaimanapun, beliau enggan melayan sebarang dakwaan yang mengaitkannya dengan spekulasi itu dan menganggap semua orang boleh melakukan dakwaan sedemikian.
Kenyataan terbaharu ahli parlimen Kota Raja itu sekaligus mengesahkan khabar angin mendakwa menteri itu ke selatan Thailand baru-baru ini.
Menurutnya, beliau melakukan ibadah korban di banyak kawasan dalam negara itu sejak beberapa tahun lepas termasuk di kem keamanan di sana.
“itu (spekulasi) saya tidak perlu jawab. Saya melakukan korban di banyak tempat di Thailand pada setiap tahun.
“Itu soal peribadi termasuk saya ada buat lawatan di kem keamanan di sana. kali ini diiringi tentera Thailand juga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 di Wisma Perwira ATM, di sini, pagi tadi.
#korban #masjid #Mohamad Sabu #perhimpunan #Syiah #Thailand
;