Didakwa langgar SOP, Awie akan dipanggil beri keterangan

Shuhada Abdul Kadir
Mei 9, 2021 15:33 MYT
Awaie dan beberapa individu lain didakwa langgar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika menghadiri majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka pada Jumaat. - Gambar fail
MELAKA: Polis Melaka akan memanggil penyanyi dan pelakon, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman untuk diambil keterangan berhubung penularan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada satu majlis di sebuah hotel di Bandaraya Melaka baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, penganjur serta beberapa individu yang terlibat juga akan dipanggil dalam masa terdekat.
Menurut Mohd Sukri, sekitar 12.43 tengah malam tadi, polis telah menerima satu laporan berhubung penularan video berkenaan.
Video berdurasi 42 saat itu memaparkan vokalis utama kumpulan rock Wings itu dan beberapa individu lain melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika menghadiri majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah.
Sehubungan itu, Mohd Sukri menggesa semua individu yang terlibat dalam video berkenaan atau yang mempunyai maklumat, agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan juga akan dilengkapkan secepat mungkin sebelum dirujuk ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan katanya, disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan) No 3 2021.
#Awie #Awie Wings #langgar SOP #laporan polis #Polis Melaka #perintah kawalan pergerakan
;