Didakwa kemuka butiran palsu, pembantu penguatkuasa ditahan reman

Adie Sufian Zulkefli
Januari 21, 2022 15:52 MYT
Suspek dipercayai terima RM20,000 setiap bulan selama 20 bulan sejak Julai 2019 sebagai dorongan untuk meluluskan tender kontrak.
ALOR SETAR: Seorang bekas pembantu penguatkuasa dari sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu.
Menurut sumber, permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Januari itu dikeluarkan Majistret Mohamad Farid Lateef selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.
Katanya, suspek lelaki berusia 35 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.
Difahamkan, suspek dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM20,000 setiap bulan untuk tempoh selama 20 bulan sejak Julai 2019 sebagai dorongan untuk meluluskan tender kontrak sebuah syarikat pembersihan di Kedah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta.
Katanya lagi, SPRM kini sedang mendapatkan dokumen berkaitan, selain merakam pernyataan beberapa saksi dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Pada 11 Januari lalu, seramai 21 individu ditahan SPRM manakala seorang lagi ditahan reman pada 16 Januari lalu bagi membantu siasatan kes yang sama.
#Rasuah #pembantu penguatkuasa #agensi kerajaan #SPRM
;