Didakwa fitnah pegawai PM di media sosial, lelaki direman
Umavathi Ramayah
September 15, 2022 15:06 MYT
September 15, 2022 15:06 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan reman tiga hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yag didakwa menfitnah seorang pegawai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi hantaran itu, pegawai terbabit didakwa memakai barang kemas dan berpakaian mewah.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, perintah reman sehingga Sabtu depan ke atas lelaki berusia 48 tahun itu dikeluarkan selepas polis membuat permohonan.
"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Lelaki itu ditahan di rumahnya di Lembah Pantai, di sini, kira-kira pukul 10 malam Rabu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya untuk siasatan lanjut.