Didakwa dera pelajar tahfiz, suami isteri mengaku tidak bersalah

Astro Awani
Mei 6, 2021 15:01 MYT
Norizan Yahya, 53 dan suaminya, Muhammad Yaqoob, 35, warga Pakistan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan. - Gambar hiasan
AMPANG: Gara gara merotan pelajar berusia tujuh tahun, sepasang suami isteri yang juga pengurus sebuah tahfiz dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang kerana didakwa mendatangkan kecederaan dan merotan mangsa pada Mac lalu.
Bagaimanapun, Norizan Yahya, 53 dan suaminya, Muhammad Yaqoob, 35, warga Pakistan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar dan Majistret Normaizan Rahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Norizan didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun enam bulan, di Taman Tun Abdul Razak, di sini, antara pukul 6 petang, 9 Mac hingga 23 April lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BACA: Suami isteri pengusaha pusat tahfiz ditahan, pelajar dakwa didera
Sementara itu, Muhammad Yaqoob dituduh mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan terhadap mangsa di tempat, tarikh dan masa sama serta didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah dan Suriantiazilla Muhammad, masing-masing membantah sebarang jaminan diberikan terhadap Norizan dan Muhammad Yaqoob kerana membabitkan kesalahan serius.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka menerusi peguam Dony Abdullah, memohon dibenarkan ikat jamin rendah.
Tertuduh, Norizan menghidap penyakit sendi, jantung dan kencing manis, manakala suaminya mempunyai dokumen visa yang sah.
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini adalah pengurus tahfiz berkenaan dan sepanjang direman selama 12 hari, pusat itu tidak beroperasi.
Mahkamah membenarkan Norizan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Muhammad Yaqoob pula dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan melaporkan diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.
#dera pelajar tahfiz #suami isteri #pengurus tahfiz #Mahkamah Majistret Ampang #Taman Tun Abdul Razak
;