Didakwa cabul peserta Unduk Ngadau, ahli parti STAR ditahan polis

Junaidi Ladjana
Jun 3, 2021 14:34 MYT
Ahli parti STAR Sabah itu ditahan di pejabatnya di Asia City pada Khamis. - Foto Astro AWANI.
KOTA KINABALU: Seorang ahli parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang didakwa mencabul salah seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, ditahan polis, pada Khamis.
Lelaki berusia 50-an itu ditahan selepas membuat sidang media berhubung dakwaan berkenaan di pejabatnya di Asia City, di sini, kira-kira jam 1 petang tadi.
Difahamkan, sidang media dibuat berhubung tindakan mahkamah yang akan diambil terhadap dua individu dan sebuah laman blog.
Ia dipercayai berkaitan video yang disiarkan menunjukkan beliau berselisih faham dengan pengawal keselamatan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang bulan lalu.
BACA: Polis siasat laporan peserta Unduk Ngadau dicabul
BACA: STAR gantung ahli didakwa cabul peserta Unduk Ngadau
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini
Sementara itu, Hazani berkata, peserta Unduk Ngadau yang menjadi mangsa kejadian ini sudah dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini.
Katanya, wanita berusia 20-an itu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Semalam, satu laporan polis bertarikh 21 Mei lalu tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp berhubung laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa diraba salah seorang jawatankuasa penganjur.
#Cabul Unduk Ngadau #STAR Sabah #STAR #polis #Datuk Hazani Ghazali #media sosial #Pesta Kaamatan #pesuruhjaya polis #Penampang
;