Didakwa buat kenyataan timbul kegentaran awam, Fuziah mengaku tidak bersalah

Astro Awani
April 29, 2020 13:27 MYT
Fuziah menerusi laman Facebooknya telah memuat naik satu klip video yang mendakwa kononnya terdapat kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura. - Gambar fail
Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membuat kenyataan menerusi Facebook yang mengakibatkan kegentaran awam awal bulan ini.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan ke atas beliau di hadapan Majistret R. Salini Retanam, dan mohon dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa membuat kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam di Taman Imigresen, Jalan Tasek Utara, kira-kira 10 malam, 9 April lepas.
Fuziah didakwa hari ini mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Salini kemudiannya memerintahkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Jun depan.
Fuziah, 61 tahun, diwakili Hassan Karim dan John Fernandez manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, mengendalikan kes ini.
Terdahulu, Hassan membuat bantahan sebelum prosiding dimulakan kerana mendakwa anak guamnya tidak diberikan notis awal.
Bagaimanapun, Nor Azizah dalam hujahnya berkata, saman sudah diserahkan sendiri kepada Fuziah di Kuantan semalam yang menyatakan tertuduh perlu menjawab pertuduhannya hari ini.
Sebelum ini, Fuziah memuat naik satu klip video di Facebooknya dan mendakwa kononnya terdapat kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.
Klip video yang menunjukkan rakyat Malaysia merempuh kawalan pihak berkuasa imigresen di Tambak Johor dipaparkan ketika Singapura mula mengenakan kawalan pergerakan susulan penularan COVID-19 berkuat kuasa 7 April lalu.
Fuziah bagaimanapun menurunkan klip video tersebut beberapa jam kemudian dan memohon maaf kerana menaikkan rakaman video lama.
Imigresen Johor turut menafikan dakwaan itu dan seterusnya membuat laporan polis.
#ahli Parlimen #COVID-19 #dakwa #Fuziah Salleh #Imigresen #Johor Bahru #kawalan pergerakan #kegentaran awam #Kuantan #Mahkamah Majistret #palsu #rakaman video #rakyat Malaysia #Singapura #Tambak Johor #video
;