Diculik selepas sahur, adik Nur Aisyah dijumpai dengan gigitan serangga

Shuhada Abdul Kadir
Jun 7, 2018 18:47 MYT
Bayi malang itu dijumpai di kawasan semak samun dengan kesan gigitan serangga. - Ihsan Pembaca
Bayi perempuan, Nur Aisyah Hasmizan yang dilaporkan diculik individu tidak dikenali selepas kediaman keluarganya di Kampung Parit Lanjut Sungai Terap, Muar, dipecah masuk pagi tadi telah ditemukan selamat.
Bayi berusia 17 bulan itu dijumpai di kawasan semak berdekatan sebuah pencawang elektrik di sekitar Muar, kira-kira jam 4 petang tadi.
Media sebelum ini melaporkan, anak bongsu kepada Hasmizan Othman, 35 tahun dan Siti Noorfadila Yusofe, 30 tahun, pada mulanya disedari hilang sekitar 5 pagi tadi, selepas ibunya bangun untuk bersahur.
Menurut laporan polis, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar 3 hingga 5 pagi, ketika kesemua ahli keluarga termasuk neneknya sedang tidur di dalam bilik yang sama di kediaman itu.
BACA: Bayi 17 bulan dilarikan ketika sahur
Bayi malang berkenaan telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk pemeriksaan lanjut, dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi telah mengesahkan penemuan itu.
#Bayi hilang #Hospital Pakar Sultanah #Hospital Pakar Sultanah Fatimah #Muar #polis #Zaharudin Rasip
;