PUCHONG: Dicekup kerana menyorok di dalam tandas, kemudian cuba menipu konon dirinya hanya pelanggan premis antara cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) mahu melepaskan diri daripada ditangkap dalam serbuan pusat snuker di Taman Puchong Utama, di sini pada Rabu.

Semasa ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, lelaki berusia lingkungan 20-an itu cuba berdolak-dalih memberi pelbagai alasan.

Namun, pemeriksaan lanjut menemui barang peribadi milik lelaki warga Indonesia itu berada di kaunter, sekali gus membongkar PATI itu merupakan pekerja premis terbabit.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan di 14 premis di sekitar Shah Alam dan Puchong bermula jam 11 pagi.

Menurutnya, antara lokasi serbuan melibatkan premis perniagaan peralatan perkakasan, kedai gunting rambut, pusat snuker, bengkel, kedai gunting, restoran serta kilang proses makanan.

"Seramai enam PATI termasuk dua wanita yang masing-masing terdiri daripada tiga Indonesia, Myanmar (2) dan seorang Bangladesh merupakan pekerja di pusat snuker, kedai perkakasan dan tukang gunting ditahan.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, kesemua PATI berusia lingkungan 20 hingga 40-an dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di di bawah Akta Imigresen 1959/63. - Sinar Harian