Dibuang kerja, kini berniaga di Tamu Donggongon
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 22, 2020 11:06 MYT
Ogos 22, 2020 11:06 MYT
"Saya perlu mencari duit bagi melunaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menyara keluarga kecil saya."
Itu luahan seorang belia di Donggongon, Penampang, ketika ditanya kenapa memilih berniaga di pasar awam di pekan tersebut.
Menurut Francois France, 27 tahun, dia telah diberhentikan kerja bulan lalu dari sebuah syarikat swasta yang menjadi pemain dalam sektor pelancongan di negeri ini.
Namun, nasib itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan kerana dia masih muda selain mempunyai tanggungan.
Jelas Francois, semangat berniaga ibunya menjadi azam untuk haluan baharu itu.
Biarpun dihimpit rasa sedih akibat dibuang kerja, namun kerana anak yang masih kecil, menjadikan dirinya semakin cekal mengharungi haluan baru itu.
"Sambil-sambil saya berniaga di sini saya buat berniaga lain juga.
"Contohya saya berniaga ikan bilis, udang kering yang saya dapat dari pembekal lain di luar supaya saya dapat lebih pendapatan berniaga di sini," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Pandangan sama juga diberikan Shereen Loudin, 22 tahun, yang turut terkesan dengan situasi pembuangan kerja akibat pandemik COVID-19.
Dia tidak mahu terus memeluk tubuh sebaliknya bangkit dengan menceburi bidang keusahawanan secara dalam talian.
Tambahnya selepas beberapa bulan berniaga bersama ibunya, dia kini semakin selesa dengan norma baharu itu.
"Sekarang ini saya buat perniagaan sendiri seperti jual kuih. Ada roti, ada juga buat kek, buat minuman dan ada juga buat jualan secara dalam talian," katanya yang sudah selesa menjalankan perniagaan.
#COVID-19
#dalam talian
#dibuang kerja
#Donggongon
#Francios France
#Penampang
#Peniaga kecil
#perniagaan dalam talian
#Sabah Memilih
#Shereen Loudin
#Tamu Donggongon
#usahawan