Dibuai cinta 'ahli geologi marin', peguam rugi RM1.75 juta

Bernama
September 10, 2024 21:19 MYT
Azizi berkata wanita berusia 58 tahun itu membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya ditipu. - Gambar hiasan/Astro AWANI
TELUK INTAN: Seorang peguam kerugian RM1.75 juta akibat terperdaya dengan love scam atau penipuan cinta setelah berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi aplikasi WhatsApp sejak Julai lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata wanita berusia 58 tahun itu membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya ditipu.
"Menurut wanita itu, suspek mendakwa dirinya bekerja sebagai ahli geologi marin dan kononnya wang tunainya hilang akibat dirompak semasa datang ke Malaysia bagi melaksanakan projek pembinaan tangki dasar laut di pesisir pantai di Terengganu.
"Disebabkan 'masalah' yang dihadapinya, suspek meminta bantuan mangsa untuk membantunya memasukkan sejumlah wang," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus mengenai jenayah penipuan dan trend jenayah semasa di sini hari ini.
Azizi berkata mangsa membuat pemindahan transaksi wang ke beberapa akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1,757,490.
"Suspek berjanji akan membayar balik wang itu, namun hingga ke hari ini mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada suspek," katanya.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Azizi berkata daerah Hilir Perak merekodkan kerugian berjumlah RM2 juta membabitkan penipuan dalam talian sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.
-- BERNAMA
#penipuan dalam talian #WhatsApp #warga asing #love scam
;