Diaspora Malaysia di Singapura dan Brunei jadi pekerja mahir atau separa mahir
Bernama
Februari 19, 2024 04:45 MYT
Februari 19, 2024 04:45 MYT
PUTRAJAYA: Majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei menjadi pekerja mahir atau separa mahir, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata 39 peratus diaspora di Singapura adalah pekerja mahir dan 35 peratus pekerja separa mahir manakala 68 peratus diaspora di Brunei pula adalah pekerja mahir dan 24.1 peratus pekerja separa mahir.
Dapatan itu diperoleh menerusi Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam pada 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja di Luar Negara: Singapura pada 2022 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kedua-dua kajian dijalankan dengan objektif utama yang sama iaitu memprofilkan diaspora Malaysia di Brunei dan Singapura dengan memfokus kepada rakyat Malaysia yang bekerja selain meliputi kecenderungan golongan yang bekerja di luar negara terutama keperluan perlindungan keselamatan sosial mereka.
"Bagi gaji kasar bulanan pula didapati 66.7 peratus responden yang bekerja di Singapura menerima gaji di antara SGD1,500 hingga SGD3,599 sebulan dan 18.5 peratus menerima gaji di antara SGD3,600 hingga SGD9,999 sebulan.
"Bagi yang bekerja di Brunei pula, 41.3 peratus responden menerima gaji kasar bulanan di antara BND1,000 hingga BND3,000 dan 43.5 peratus lagi menerima gaji kasar bulanan antara BND3,001 hingga BND10,000 sebulan," katanya pada Majlis Pelancaran Buku Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia serta Buku Laporan Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam di sini semalam.
Mohd Uzir berkata jumlah gaji kasar bulanan tertinggi yang direkodkan di Singapura ialah SGD18,000 manakala di Brunei ialah BND15,000.
Beliau berkata antara faktor utama rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di Singapura atau Brunei ialah peluang pekerjaan dan persekitaran yang baik, gaji lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang yang tinggi.
Dari segi demografi, Mohd Uzir berkata dapatan kajian 2022 menunjukkan bahawa 38.0 peratus diaspora Malaysia di Singapura adalah golongan pekerja manakala 62 peratus lagi atas tujuan lain seperti menjalankan perniagaan, menjalani latihan dan penyelidikan, pendidikan atau berkahwin dengan warga Singapura.
Beliau berkata dapatan kajian 2023 pula menunjukkan 50 peratus diaspora Malaysia di Brunei adalah golongan pekerja manakala bakinya disebabkan faktor sosial seperti berkahwin dengan warga Brunei, mengikut suami atau urusan kekeluargaan.
"Namun begitu terdapat satu dapatan yang signifikan kerana persamaan sebab keberadaan di Singapura atau di Brunei iaitu rakyat Malaysia berada di sana adalah untuk menjalankan perniagaan," katanya.
-- BERNAMA