#DiariLockdown: Diberi peluang bernafas antara motivasi diri sepanjang PKP
Astro Awani
Jun 24, 2021 21:25 MYT
Jun 24, 2021 21:25 MYT
KUALA LUMPUR: SUDAH hampir 500 hari rakyat Malaysia berada di bawah siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia mula dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.
Selama tempoh itu, pelbagai kemelut, isu dan krisis yang kita dengar setiap hari terutamanya melibatkan kesabaran rakyat dalam melawan gelodak hati mereka.
Ada yang hilang sumber pendapatan, rumah tangga bergolak dan yang paling serius apabila ada dalam kalangan mereka mengalami kemurungan.
Paling sedih apabila kehilangan insan tersayang yang pergi gara-gara dijangkiti wabak durjana COVID-19.
Astro AWANI hari ini berkongsi serba sedikit komen dan pendapat orang ramai mengenai usaha dan motivasi mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam situasi kini.
Ada yang mengakui berdepan masalah kemurungan dan hilang motivasi diri, apatah lagi mahu memberi motivasi kepada orang lain.
Bagi Zaid Zaid, dia menyuarakan keadaan ekonomi sebahagian besar rakyat Malaysia yang terkesan dan berdepan dengan kesukaran untuk meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, ada juga yang masih mampu memberi pandangan positif menerusi komen-komen mereka.
Aina Nazirah menyifatkan ini adalah waktu yang sesuai untuk mengenali diri sendiri.
Untuk Shahnaz Sabri, dia turut memilih melihat keadaan hari ini menerusi sisi positif dan menyifatkan ia waktu terbaik bersama keluarga, lebih masa untuk beribadah selain kurang berbelanja di luar.
Rata-rata komen turut bersyukur diberi kesempatan untuk terus bernafas di bumi Allah meskipun terpaksa mengharungi fasa kehidupan yang berliku.