Diari Timbalan Menteri: 'First time' saya jadi panel sidang antarabangsa
Astro Awani
September 18, 2018 18:45 MYT
September 18, 2018 18:45 MYT
24 jam yang lalu adalah momen yang pasti diingati, mungkin kekal di dalam memorinya buat selama-lamanya. Setidak-tidak pun, untuk suatu jangka masa yang panjang.
Sejak menjawat jawatan Timbalan Menteri di era Malaysia Baharu pasca 9 Mei 2018, inilah kali pertama Muhammad Bakhtiar Wan Chik ‘beraksi’ di pentas global.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu menjadi panel salah sebuah sesi pada Sidang Kemuncak Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang ketujuh di Korea Selatan yang berlangsung sejak dua hari lalu.
Bakhtiar berkongsi pentas dengan 13 ahli panel yang lain seperti Menteri Pelancongan Greece, Elena Kountoura, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Mongolia, Tserembat Namsrai, datuk-datuk bandar serta tokoh-tokoh PBB.
Sesi berkenaan menggali isu berkisar pelancongan bandar atau ‘urban tourism’ yang mendominasi hala tuju Agenda Urban Baharu PBB. Ia memerlukan kerangka dasar yang dinamik seiring perubahan kehendak dunia pelancongan.
Bertemakan “A 2030 Vision for Urban Tourism”, sidang tersebut meneroka pendekatan strategik dalam mendepani cabaran pelancongan bandar melalui cara yang mungkin mudah, tetapi sangat berinovatif. Adakalanya, forum-forum dunia seperti ini kelihatan 'terlampau tinggi’ sehingga tidak terjangkau dek akal manusia biasa.
Tetapi bagi Muhammad Bakhtiar, ceritanya mudah.
“Pertama, pembangunan pelancongan bandar perlu selaras dengan pembangunan sosial masyarakat dan kedua, pelancongan tidak boleh bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata,” kata Ahli Parlimen Balik Pulau itu.
Pada masa yang sama, kehadiran wakil-wakil Malaysia pada sidang-sidang antarabangsa sebegini tidak boleh mengulangi kesilapan lama: "pergi luar negara mahal-mahal, tetapi wal hasil balik asal."
Menurut Bakhtiar, antara ‘outcome’ atau hasil persidangan ialah pembangunan pelancongan tidak boleh diasingkan daripada perancangan bandar serta arus kemajuan teknologi sekarang.
“Kerjasama strategik dengan swasta dan masyarakat sivil perlu diperkukuh dan mesra teknologi seiring revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0),” ujarnya.
Beliau bakal kembali ke tanah air dengan ilmu dan segala usaha ini akan dinilai seiring semangat rakyat yang memantau pelaksanaan setiap inci usaha kerajaan agar ia berimpak kepada kehidupan masyarakat dan negara.
#A 2030 Vision for Urban Tourism
#Ahli Parlimen Balik Pulau
#Astro Awani
#berita hari ini
#Berita Terkini
#Diari Timbalan Menteri
#isu semasa
#Muhammad Bakhtiar Wan Chik
#Pelancongan Bandar
#PKR
#Terkini AWANI
#Timbalan Menteri Pelancongan
#UNWTO
#Urban Tourism