KUALA LUMPUR: Segala yang ada di dalam rumah setingkat itu bersalut lumpur - peralatan elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan perabot, malah pakaian juga bergumpal selut.
TV skrin rata 42 inci yang sebelum ini menjadi sumber maklumat dan hiburan Derismawa Arisno dan dua teman serumah, dijadikan alas duduk wanita itu yang berehat sekejap bagi menghilangkan lelah membersihkan rumah sewanya yang ditenggelami air selama seminggu bermula 18 Dis lalu.
"Bila balik (dari kerja), air dah sampai paras betis. Cuma dapat selamatkan baju, yang lain semua ditinggalkan. Memang panik sangat," katanya membuka cerita kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Banting, Selangor.
Kampung itu yang didiami oleh golongan berpendapatan sederhana, kebanyakannya bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, antara kawasan yang paling teruk terjejas banjir 18 Dis tersebut.
Menurut penduduk yang ditemui Bernama, petempatan yang dikelilingi ladang kelapa sawit tersebut amat jarang dilanda banjir, justeru mereka tertanya-tanya bagaimana bencana seburuk itu boleh berlaku dan mengapa tiada amaran dikeluarkan.
Pertanyaan serupa turut bermain di fikiran Raynugadewi Subramanian atau Raynu yang menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam - 44 kilometer di utara Kampung Tengah.
Tidak seperti Kampung Tengah, Taman Sri Muda mudah dilanda banjir apabila hujan lebat, namun kata Raynu bah besar pada hari berkenaan membuatkan dia benar-benar tergamam kerana selama ini banjir kilat yang berlaku tidak seteruk itu.
Cerita wanita itu, pada pagi 18 Dis tersebut, dia perasan air naik agak pantas berbanding kebiasaan, menyebabkan dia dan ibunya keluar rumah bagi mengalihkan kereta untuk diletakkan di kawasan lebih tinggi.
"Agak sukar untuk memandu dalam keadaan itu, namun syukurlah kami selamat sampai di kawasan tinggi," katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama.
"Kami kemudian tunggu air surut dengan harapan dapat berjalan kaki untuk balik ke rumah, namun kami dapati paras air semakin tinggi."
Melihat rumah mereka semakin ditenggelami air, Raynu dan ibunya tidak ada pilihan melainkan menuju ke tempat selamat, meninggalkan segala milik mereka termasuk kucing peliharaan di rumah. (Kucing mereka selamat, ditemukan tiga hari kemudian).
Menurutnya, apabila kembali ke rumah pada 23 Dis, semua barangan di tingkat bawah musnah, manakala kawasan kejiranannya pula ibarat "medan perang". Setakat 27 Dis lepas, pihak berkuasa mengesahkan 25 orang termasuk dua sukarelawan terkorban dalam bencana itu di Selangor, manakala puluhan ribu lagi terpaksa dipindahkan. Ratusan penduduk dilaporkan terperangkap di atas bumbung atau di tingkat atas kediaman mereka tanpa makanan dan elektrik selama lebih sehari.
KAPASITI BERLEBIHAN
Ironinya, Selangor dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negeri yang paling bersedia untuk menghadapi bencana di Malaysia, kata pakar kesiapsiagaan Dr Khamarrul Azahari Razak.
Justeru, apakah yang sebenarnya berlaku?
"Apa yang berlaku (pada 18 Dis) adalah impak perubahan iklim dan akibat cuaca ekstrem pada hari berkenaan. Perlu diingat, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran, dan... (perubahan cuaca) berlaku sekelip mata," katanya.
Menurutnya, pakar termasuk beliau, menumpukan perhatian pada negeri-negeri di timur laut, menjangkakan hujan turun di sana seperti kebiasaan, namun yang berlaku ialah sistem cuaca bergerak ke barat daya, iaitu Lembah Klang.
Pihak berkuasa menuding jari pada jumlah taburan hujan - lebih 300 mm dalam sehari iaitu jumlah purata sebulan - yang diburukkan lagi dengan air pasang besar, kawasan rendah, air sungai penuh dan daratan terlebih tepu. Gabungan faktor itu tidak mampu ditampung oleh langkah-langkah tebatan banjir yang dilaksanakan.
Sekalipun saintis iklim dan pakar tempatan telah menjangkakan lebih banyak hujan dan kejadian banjir di rantau ini pada masa depan, termasuk di kawasan yang lazimnya tidak banjir, bencana 18 Dis itu memeranjatkan ramai pakar.
"Jujur saya katakan, selama lebih 30 tahun saya berkhidmat, saya tidak pernah melihat banjir seteruk itu di Kuala Langat mahupun Shah Alam," kata Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) melalui WhatsApp kepada Bernama.
Walaupun penduduk sudah terbiasa dengan kejadian banjir di kawasan rendah di Lembah Klang, khususnya di kawasan berdekatan sungai, tidak ramai yang menyangka kawasan terbabit masih ditenggelami air selepas berhari-hari hujan berhenti.
Di Kampung Tengah, air hanya surut selepas seminggu, manakala di Taman Sri Muda, pihak berkuasa terpaksa menggunakan pam untuk menyedut keluar air, membolehkan penduduk kembali ke rumah mereka lima hari kemudian.
Pakar sungai dan saliran Dr Kalithasan Kailasam daripada Global Environment Centre (GEC) pula berkata ketika monsun bermakna sungai dan empangan dipenuhi air, menyukarkan lagi banjir untuk surut, malah mungkin kembali memasuki rumah.
"Keadaan itu disebabkan aliran balik," jelasnya.
Sementara itu, pada 27 Dis lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan jumlah hujan yang turun pada 18 dan 19 Dis yang dua kali ganda jumlah taburan hujan purata bagi Disember, sebarang projek tadahan air pada masa akan datang perlu berkemampuan menampung 300 hingga 400 mm air pada bila-bila masa.
Susulan bencana itu, masyarakat kini ingin tahu langkah-langkah yang diambil bagi memastikan bah besar di Lembah Klang tersebut tidak berulang.
PERSEDIAAN UNTUK MASA DEPAN
Mitigasi banjir mempunyai dua bahagian, iaitu struktur dan bukan struktur. Pakar berkata dengan menambah baik langkah tebatan banjir struktur seperti meningkatkan jumlah dan kapasiti kolam tadahan, empangan, tetambak dan lencongan akan membantu Lembah Klang dan Malaysia amnya mendepani ancaman perubahan iklim.
Untuk penyelesaian bukan struktur pula, pakar dan masyarakat berkata kerajaan negeri dan persekutuan harus menambah baik tindak balas dan pengurusan bencana masing-masing.
Raynu berkata setahunya, jiran serta rakannya yang terperangkap dalam banjir di Taman Sri Muda diselamatkan oleh sukarelawan, bukan pihak berkuasa.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku atau setidak-tidaknya diuruskan dengan lebih baik oleh pihak berkuasa. Bagi saya perkara ini merupakan satu kegagalan yang besar pihak berkuasa," tambah wanita itu.
Laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana dan Pusat Kesiapsiagaan Bencana Asia pada 2020 mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia, menyifatkan sistem pengurusan bencana negara yang secara berpusat atau dari atas ke bawah itu sebagai tidak cekap dan ketinggalan zaman.
"Tidak dapat dielakkan ketiadaan fleksibiliti (dalam sistem pengurusan bencana dari atas ke bawah) menjadikan sistem itu tidak berguna apabila berdepan cabaran abad ke-21, di mana maklumat dari bawah ke atas memainkan peranan penting dengan revolusi media sosial dan kesedaran dalam kalangan orang awam akan memberi impak terhadap reputasi dan nama baik kerajaan," menurut laporan itu.
Dr Khamarrul yang juga Exco MERCY Malaysia, mengesyorkan pelaksanaan sistem terpencar dan menambah, sistem pengurusan bencana yang berkesan bermakna melibatkan kesemua pihak berkuasa tempatan dan negeri.
"Jika anda memperkukuh kerajaan tempatan - kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan - anda sebenarnya menambah baik keseluruhan jentera dalam pengurusan bencana, berbanding dengan hanya bergantung pada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara)," katanya.
Nadma ditubuhkan pada 2015. Pada 5 Okt tahun ini, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim dilaporkan berkata agensi itu sedang menggubal dasar pengurangan risiko. Beliau bagaimanapun tidak memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan perkembangan dasar itu.
Pendekatan dari bawah ke atas juga harus melibatkan orang awam.
Dr Kalithasan yang juga Pengurus Penjagaan Sungai bagi GEC, berharap kejadian banjir itu akan menyedarkan orang ramai, kerana katanya mereka mempunyai peranan yang penting dalam mengurus dan mempersiap persediaan menghadapi bencana.
"Kita harus berpandukan pada model perubahan iklim 2021 yang tidak boleh diduga. Kita berdepan kemungkinan banjir boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa, tidak seperti musim monsun sebelum ini, iaitu bah pada Disember hanya berlaku di Kelantan dan Terengganu," katanya.
BERSATU
Pakar berkata perubahan bukan struktur lain yang boleh diambil ialah melarang pembangunan di kawasan dataran banjir, memastikan pembangunan lestari dan memperkukuh perundangan serta memperketat syarat pembangunan.
Nor Hisham yang juga bekas Ketua Pengarah Pengairan dan Saliran, berkata dataran banjir tidak harus dibangunkan.
"Di sesetengah kawasan, dulu kenapa buat ?" soal beliau.
Namun jika ada keperluan untuk dibangunkan, pakar berkata syarat yang ditetapkan harus mengambil kira kesan perubahan iklim seperti jumlah taburan hujan yang lebih tinggi dan kejadian cuaca melampau.
Aktiviti penebangan hutan juga perlu dikenakan sekatan yang lebih ketat, dan pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam soal peraturan serta tidak meluluskan sebarang pembangunan yang gagal memenuhi syarat.
Pakar pengurusan alam sekitar Prof Madya Dr Mohd Khairul Amri Kamaruddin daripada Universiti Sultan Zainal Abidin bagaimanapun berkata tidak perlu dihentikan terus pembangunan, sebaliknya pastikan aktiviti itu dijalankan secara bersama dengan usaha pemuliharaan.
"Kita jaga. Kita buat sebagai ekopelancongan yang mana kita boleh bangunkan balik (hutan), boleh kembalikan duit ekopelancongan itu tadi kepada ekonomi masyarakat setempat dan sebagainya," katanya.
Nor Hisham yang bersetuju dengan saranan itu berkata apa juga pembangunan yang dilakukan, pastikan projek tidak mengganggu proses kitaran hidrologi atau proses semula jadi sungai.
"Usaha menggemblengkan pembangunan dan alam semula jadi, di mana sistem semula jadi tidak diganggu dan pada masa sama komuniti manusia juga boleh berkembang, mesti dilaksanakan. Kaedah ini amat penting bagi masa depan sesebuah negara yang menerima banyak hujan seperti negara kita ini," tegasnya.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Dec 30 2021
Tidak ramai yang menyangka kawasan terbabit masih ditenggelami air selepas berhari-hari hujan berhenti. - Foto fail/Astro AWANI
Hubungan Pas-Bersatu tunjuk bibit kelemahan - Fahmi
Beberapa isu dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini menggambarkan hubungan Pas dan Bersatu bagaikan 'retak menanti belah'.
Dasar baharu AS akan beri kesan hubungan dagang Australia-China
Dasar baharu bakal Presiden AS, Donald Trump bukan saja akan memberi kesan kepada hubungan negara itu dengan China, tetapi juga hubungan bilateral antara negara-negara lain di dunia.
Malaysia berjaya jumpa 'resipi' pertumbuhan ekonomi - Bloomberg
Portal itu berkata, Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan lebih panjang daripada China, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkannya lebih lama daripada tiga pendahulunya.
Pendapatan suku ketiga negara "mengecewakan", kata CIMB Securities
CIMB Securities menyuarakan kebimbangan apabila prestasi semakin banyak syarikat tempatan dilaporkandi bawah jangkaan, yang boleh menimbulkan risiko penurunan unjuran pendapatan FBM KLCI.
[TERKINI] Raih potensi pelaburan RM32.8 bilion, eksport RM1.3 bilion
RM32.8 bilion potensi pelaburan dan eksport dari Malaysia dengan nilai RM1.3 bilion berjaya diraih melalui lawatan kerja Perdana Menteri ke Korea Selatan.
Malaysia minta perolehan pesawat FA-50M dari Korea Selatan dipercepat - PM
Malaysia minta perolehan 18 unit pesawat pejuang ringan FA-50M yang ditempah daripada syarikat pertahanan Korea Selatan dipercepatlan.
Apa usaha kerajaan mempersiapkan diri dalam mendepani negara menua
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menyatakan persoalan tentang bagaimana persediaan pihak kerajaan dalam mempersiapkan diri dalam berdepan negara menua.
Ekonomi digital Malaysia tumbuh 16%
Menurut laporan E-conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Baian & Company, ekonomi digital Malaysia mencapai Nilai Dagangan Kasar (GMV) sebanyak AS$31 bilion atau sekitar RM141 bilion pada 2024.
'Ada aduan veteran ATM dinafikan hak rawatan di IJN' - YB Ketereh
Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor mendakwa masih ada veteran ATM yang menyatakan tentang hak rawatan mereka di IJN dinafikan.
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
HLIB jangka inflasi naik ke 2.7% tahun depan
Hong Leong Investment Bank menjangka penyelarasan subsidi RON95, kenaikan gaji minimum dan peluasan skop SST antara pendorong utama peningkatan inflasi pada 2025.
Perdana Menteri sampai sumbangan khas kepada mangsa banjir di Melaka
Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada satu majlis di Tanjung Minyak.
Lapan sekolah di Terengganu berisiko banjir ketika SPM
Beliau berkata empat daripadanya di Kemaman membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Ayer Puteh, SMK Mak Lagam, dan SMK Bukit Mentok.
Mangsa banjir meningkat di lima negeri
Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan peningkatan kepada 191 orang setakat 6 pagi Selasa, berbanding 183 mangsa semalam.
Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu berkurang, Johor dan Kelantan tidak berubah
Situasi banjir di Terengganu dilaporkan semakin pulih apabila jumlah mangsa ditempatkan di PPS di negeri itu berkurang manakala jumlah mangsa di Johor dan Kelantan tidak berubah setakat 8 malam ini.
Ribut Bert landa UK, tiga maut
Kesemua mangsa maut dalam insiden jalan raya ketika ribut melanda di Hampshire, Lancashire dan Trefriw, North Wales.
Mangsa banjir di lima negeri menurun
Negeri-negeri yang terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Johor, Sarawak dan Selangor.
Banjir: Melaka pulih, Terengganu semakin baik, Johor dan Kelantan tidak banyak perubahan
Situasi banjir di Melaka pulih sepenuhnya manakala jumlah mangsa di Terengganu semakin berkurang sementara Johor dan Kelantan tidak menunjukkan banyak perubahan setakat malam ini.
Mangsa banjir menurun kepada 481 orang di enam negeri pagi ini
Menurut info banjir JKM, antara negeri terjejas adalah Melaka, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Johor dan Selangor.
Kawasan sekitar Sungai Golok di Rantau Panjang dijangka dinaiki air - JPS
Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan di kawasan berkenaan.
Johor negeri terbaru dilanda banjir
Sebuah PPS dibuka di Balai Raya Batu Badak, Segamat, 2 petang tadi, dengan menempatkan 11 orang daripada empat keluarga.